Home Berita PAS Terengganu

Perbandingan madani Rasulullah SAW dan madani Pakatan Harapan

166
SHARE

Bersempena dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang bersejarah kepada umat Islam, perlulah diambil teladan daripada negara masyarakat madani yang telah ditegakkan oleh Baginda Nabi SAW.

Rasulullah SAW menamakan negara yang ditegakkan itu sebagai Madinah, ditukarkan daripada nama asalnya Yathrib atau Taibah, sempena dengan peristiwa hijrah.

Perkataan Madinah mencipta perkataan menegakkan al-din (Islam yang sempurna), seterusnya membina Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) berprinsipkan aqidah, syariat, ilmu dan akhlak, serta berwawasan akhirat mengikut peta jalan (road map) yang telah digariskan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (memerintah negara), nescaya mereka itu mendirikan sembahyang (sentiasa berhubung dengan Allah), menunaikan zakat (konsep ekonomi yang adil), menyuruh berbuat perkara yang ma‘ruf (berkebajikan) dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar (kehebatan undang-undang); dan (ingatlah) kepada Allah jua kembali segala urusan (berwawasan akhirat).” (Surah al-Hajj: 41)

Para pemimpin yang beribadat secara istiqamah yang sentiasa berhubung dengan Allah, berkebajikan, menegakkan keadilan dalam segala aspek, ikhlas dan benar, serta beriman kepada balasan akhirat, maka terciptalah apa yang disebutkan oleh para ulama’:

النَّاسُ ‌عَلَى ‌دِينِ ‌مُلُوكِهِمْ.

“Orang ramai (rakyat) itu terpengaruh dengan para pemimpin dan raja-raja mereka.”

Hal ini disebabkan iman yang terpacak dalam hati akan menggerakkan manusia, termasuklah kalangan penjenayah yang telah nyata kesalahannya untuk menyerah diri. Maka, tidak sepatutnya berlaku sepertimana peristiwa orang yang baharu sahaja dituduh dan belum nyata kesalahannya, namun terpaksa ditangkap dan diburu pada jam 3 pagi.

Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain, serta bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi. Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

مَنِ ‌الْتَمَسَ ‌رِضَا ‌اللَّهِ ‌بِسَخَطِ ‌النَّاسِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَأَرْضَى عَنْهُ النَّاسَ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ، سَخِطَ اللَّهُ عَلَيهِ، وَأَسْخطَ عَلَيهِ النَّاسِ.

“Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun disebabkannya dia dimarahi oleh manusia, nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan manusia yang lain juga reda kepadanya. Namun, sesiapa yang mencari keredaan manusia dengan sebab itu dimurkai oleh Allah, nescaya dia mendapat kemurkaan Allah dan akhirnya dimarahi oleh manusia (apabila terdedah penipuannya).” (Riwayat Ibn Hibban, Kitab al-Birr wa al-Ihsan, No. 276)

Diceritakan terjadinya suatu kisah benar pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA, bahawasanya ada sekumpulan tiga orang Badwi yang menangkap seorang pemuda penggembala unta kerana telah membunuh bapa mereka.

Khalifah ‘Umar RA bertanya kepada pemuda itu:

“Mengapa kamu membunuh bapa mereka?”

Pemuda itu terus menceritakan:

“Untaku memasuki kebun ayah mereka dan memakan tanamannya, lalu ayahnya memukul untaku dengan batu sehingga mati. Aku mengambil batu itu lalu menghempaskannya ke atas bapa mereka, sehingga menyebabkan kematiannya.”

Khalifah ‘Umar menegaskan:

“Kamu mesti dijatuhkan hukuman qisas kerana telah membunuh dengan sengaja.”

Pemuda itu merayu:

“Wahai Amir al-Mu’minin! Berikan aku tempoh tiga hari sahaja, bagi menyelesaikan harta pusaka peninggalan ayahku kepada adikku yang masih kecil.”

Khalifah ‘Umar bertanya kepada mereka yang hadir:

“Siapakah yang bersedia untuk menjaminnya?”

Pemuda itu memandang kepada orang ramai yang hadir, tiba-tiba menunjuk ke arah Abu Zar RA:

“Barangkali dialah yang boleh menjaminku?”

Khalifah ‘Umar lalu bertanya:

“Abu Zar! Adakah kamu bersedia?”

Abu Zar menjawab:

“Ya! Aku bersedia!”

Khalifah ‘Umar berkata kepada Abu Zar:

“Nanti kalau dia tidak datang dengan melarikan diri, maka engkau akan menerima hukumannya.”

Pada hari yang ketiga, pada waktu petang menghampiri waktu Maghrib, pemuda itu datang dalam keadaan termengah-mengah kerana mengejar masa. Setelah menghadap Khalifah ‘Umar RA, dia berkata:

“Aku telah menyelesaikan urusan harta pusaka adikku dengan menyerahkannya kepada bapa-bapa saudaraku.”

Khalifah ‘Umar RA merasa hairan dan tercengang, lalu beliau bertanya:

“Mengapa kamu tidak mengambil peluang untuk melarikan diri sahaja?”

Pemuda itu menjawab:

“Nanti orang ramai akan berkata, sudah tidak ada lagi orang yang benar-benar menepati janji pada zaman ini.”

Seterusnya, Khalifah ‘Umar RA bertanya pula kepada Abu Zar RA:

“Wahai Abu Zar! Mengapa kamu menjaminnya sedang kamu tidak mengenalinya, tidakkah kalau dia melarikan diri, kamu pula akan menerima hukuman?”

Abu Zar RA menjawab:

“Nanti orang ramai akan berkata, tidak ada lagi orang yang bersedia melakukan kebajikan.”

Ketiga-tiga anak mangsa jenayah pembunuhan itu terharu melihat peristiwa yang berlaku, lalu mereka berkata:

“Kami memaafkan dan membebaskan pemuda ini.”

Mengikut hukum jenayah Islam, keluarga terdekat kepada mangsa jenayah bunuh berhak memberikan pengampunan kepada orang yang membunuh, bukan Lembaga Pengampunan yang tiada kaitan dengan mangsa. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِي ٱلۡقَتۡلَىۖ ٱلۡحُرُّ بِٱلۡحُرِّ وَٱلۡعَبۡدُ بِٱلۡعَبۡدِ وَٱلۡأُنثَىٰ بِٱلۡأُنثَىٰۚ فَمَنۡ عُفِيَ لَهُۥ مِنۡ أَخِيهِ شَيۡءٞ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيۡهِ بِإِحۡسَٰنٖۗ ذَٰلِكَ تَخۡفِيفٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَرَحۡمَةٞۗ فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٞ١٧٨ وَلَكُمۡ فِي ٱلۡقِصَاصِ حَيَوٰةٞ يَـٰٓأُولِى ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٧٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka, sesiapa yang mendapat permaafan daripada saudaranya, hendaklah (orang yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhanmu dan suatu rahmat. Sesiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya seksa yang sangat pedih. (178) Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa! (179)” (Surah al-Baqarah: 178-179)

Banyak amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran. Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku.

Dalam sebuah negara madani yang berlandaskan iman dan budiman, pemimpin dan rakyat sama-sama menyahut seruan Allah SWT dan tawarannya yang berwawasan jauh, bukan sahaja dunia, bahkan hingga akhirat. Hal ini sepertimana janji Allah SWT dalam firman-Nya:

﴿وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ١٣٣ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٣٤ وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٣٥ أُولَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّـٰتٌ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ١٣٦﴾

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi; yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (133) (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (134) Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (135) Mereka itu balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala untuk orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali ‘Imran: 133-136)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Muharram 1445 / 21 Julai 2023

[Bil: 59 / 2023]