Home Minda Presiden

Perbandingan antara Fathu Makkah dengan Revolusi Perancis

192
SHARE

Minda Presiden PAS

PERBANDINGAN ANTARA FATHU MAKKAH DENGAN REVOLUSI PERANCIS


Tanggal 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah bersamaan 10 Januari 630 Masihi bermula Fathu Makkah, suatu peristiwa besar dalam sejarah Islam yang dilupakan, khususnya oleh Melayu yang mudah lupa akan Islamnya. Sebaliknya mereka terlalu ingatkan Revolusi Perancis kerana pengaruh penjajah Barat masih menghantui jiwa, akal dan jasadnya, sehingga lagaknya lebih condong ke arah Barat melebihi orang-orang Eropah.

Revolusi Perancis (Bahasa Perancis: Révolution Française, 1789–1799) merupakan satu tempoh peralihan politik dan sosial dalam sejarah Perancis dan Barat daripada struktur kerajaan terdahulu yang dikuasai raja (mutlak pada awalnya tapi kemudiannya secara berperlembagaan) dengan sistem feudal yang lebih memberikan keistimewaan kepada golongan autokrat dan paderi Katolik. Begitu juga peralihan kepada suatu bentuk pemerintahan yang dipimpin oleh rakyat jelata yang berasaskan prinsip kesedaran terhadap nasionalisme dan hak rakyat. Keadaan ini berlaku ketika pemerintahan Raja Louis XVI.

Revolusioner Perancis pada waktu itu menggunakan cogan kata ‘Kebebasan, Persamaan, dan Persaudaraan’ (Liberty, Equality, Fraternity). Slogan yang sangat dibanggakan oleh pejuang hak asasi manusia dan telah diilhamkan oleh Barat yang pernah menjajah kita dengan perhambaan dan rompakan. Namun, ia telah dilupakan oleh bangsa Asia khususnya bangsa Melayu yang paling bebal Islamnya.

Malangnya bangsa Melayu dijahilkan betapa perubahan melalui Revolusi Perancis itu juga disertai dengan keganasan yang melampau. Termasuklah dengan pembunuhan dan penindasan ketika tempoh keganasan yang diizinkan, dan selepas itu pula berlakunya peperangan yang melibatkan kuasa-kuasa besar di Eropah. Di samping beberapa revolusi yang lain seperti revolusi di England, Rusia dan lain-lain. Semuanya berlaku secara drakonian, namun dibanggakan oleh pejuang hak asasi manusia yang dikatakan menentang drakonian.

Islam mendahului Revolusi Perancis lebih daripada 1000 tahun apabila berlakunya peristiwa Fathu Makkah yang bermaksud Pembukaan Makkah. Kejayaan membuka hati-hati manusia yang diselaputi dengan karat kefahaman jahiliah dari sudut aqidah, akhlak, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Rasulullah SAW memimpin bala tentera yang besar untuk memasuki Makkah tanah suci tempat kelahirannya, dengan mendahulukan konsep keamanan dan pengampunan tanpa membalas dendam terhadap kezaliman yang pernah berlaku. Sehingga Baginda SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai terhadap mereka yang pernah menzaliminya, ketika sedang berada di kemuncak kemenangan dan berkuasa. Kezaliman yang amat sangat terhadap golongan hamba abdi dan kaum wanita kerana kedua-dua golongan tersebut dipandang tidak berguna untuk peperangan.

Hanya sembilan orang sahaja yang diisytiharkan sebagai penjenayah perang dan pasti dihukum, namun sebahagian besarnya diterima dengan diberikan pengampunan beramai-ramai setelah menyerahkan diri masing-masing. Bandingkan jumlah ratusan ribu mangsa korban akibat Revolusi Perancis dan revolusi-revolusi lain yang sangat dibanggakan itu. Bahkan, terdapat negara mencatatkan jumlah korban yang mencecah angka jutaan mangsa. Begitu juga pasca revolusi iaitu pada zaman baharu yang dikatakan reformasi kepada hak asasi manusia.

Sewaktu kemuncak kemenangan Islam, Rasulullah SAW mengutuskan surat kepada raja-raja yang berpengaruh pada zamannya seperti Raja Musqat, Raja Oman, Raja Habsyah, Raja Yaman dan sebagainya. Apabila mereka menerima Islam dengan redha, mereka semua dikekalkan atas takhta masing-masing dan tidak dipecat, malahan takhtanya tidak dirampas, kerana Islam menggalakkan konsep taubat dan pengampunan.

Hal tersebut kerana Islam tidak gila untuk berkuasa semata-mata sepertimana pelampau politik hari ini. Raja Mesir pula tidak masuk Islam, tetapi menerima konsep perdamaian yang didahulukan dan tiada paksaan dalam agama oleh Islam. Konsep hubungan dengan negara China pada zaman selepas itu pula, berlaku secara damai sehingga wujudnya jalan sutera yang lembut.

Adapun peperangan besar berlaku ketika menghadapi kuasa besar Parsi dan India di Asia, serta Rom di Eropah dan Afrika Utara adalah disebabkan oleh keadilan Islam dan tamadunnya yang ditakuti akan mempengaruhi rakyat mereka.

Kuasa Islam lebih bersifat menentang pencerobohan. Sekiranya mesti berperang juga, hendaklah berlaku dengan adab dan akhlak yang mengharamkan bersikap melampaui batas sekalipun terhadap musuh. Hal ini demikian kerana, ia juga mempunyai kaitan dengan dosa, bukan sahaja undang-undang. Sebagaimana perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, (tetapi) janganlah kalian melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Kuasa Islam sangat berbeza dengan kuasa Barat yang tidak menghayati undang-undang antarabangsa yang dikebalnya apabila berkuasa besar terhadap negara-negara yang dipandang kecil.

Setelah kerajaan Islam mengalami kelemahan, jelas berlaku pengaruh Barat yang mengambil alih kuasa berkonsepkan penjajahan kolonialisme dan imperialisme yang menghantui kuasa besar selepasnya sehinggalah hari ini. Peperangan sesama kuasa besar itu berlaku sehingga masing-masing saling menggunakan senjata pemusnah, bahkan ujian senjata yang dilakukan juga telah membunuh dan merosakkan alam sekitar.

Sehingga terkini pengaruh Revolusi Perancis yang diuar-uarkan kononnya menegakkan konsep hak asasi manusia itu, telah terlanjur sehingga ke peringkat memelihara hak asasi binatang melebihi daripada hak asasi manusia sendiri. Demikianlah akibat daripada politik yang meminggirkan agama atau agama yang tiada hubungan dengan politik, bahkan meletakkan semua politik itu berpandukan akal semata-mata tanpa hidayah.

Peristiwa Fathu Makkah adalah sebahagian daripada amalan politik Islam yang tidak berpisah daripada agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا١ لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا٢ وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا٣ هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَعَ إِيمَانِهِمْ  وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا٤ لِيُدْخِلَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَيُكَفِّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَكَانَ ذَلِكَ عِنْدَ اللَّهِ فَوْزًا عَظِيمًا٥ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ الظَّانِّينَ بِاللَّهِ ظَنَّ السَّوْءِ عَلَيْهِمْ دَائِرَةُ السَّوْءِ وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَلَعَنَهُمْ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا٦﴾

“Sesungguhnya Kami telah membuka kepada kamu (wahai Muhammad) kemenangan yang nyata. (1); Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan ni‘mat-Nya kepadamu, serta memimpin kamu ke jalan yang lurus. (2); Dan dengan sebabnya Allah memberikan kepadamu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan pertolongan (yang tidak ada bandingannya). (3); (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya keimanan mereka bertambah dengan keyakinan mereka yang sedia ada; Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (4); (Allah melakukan yang demikian) supaya Dia memasukkan orang-orang yang beriman dalam kalangan lelaki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan mereka kekal di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu di sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka). (5); Dan supaya Dia menyeksa orang-orang munafiq dalam kalangan lelaki dan perempuan, dan orang-orang Musyrik dalam kalangan lelaki dan perempuan, yang berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk; dan Allah murka dan melaknatkan mereka serta menyediakan bagi mereka neraka jahannam; sedangkan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (6).” (Surah al-Fath: 1-6)

Demikianlah perbezaan yang jauh jaraknya antara Fathu Makkah dan Revolusi Perancis. Laksana jauhnya jarak di antara Timur di mana matahari terbit dan Barat di mana matahari terbenam, dan juga seperti jarak ketinggian di antara bumi dan langit.

Perkara yang menjadi masalah sepertimana yang telah dihuraikan oleh Ibnu Khaldun tentang psikologi masyarakat manusia yang terhina dijajah, sering kali sangat berbangga dengan bekas penjajahnya dalam semua perkara. Khususnya dari aspek negatif sehingga meniru fesyen pakaian dan rambut di kepala kerana itulah yang ditanam oleh penjajah. Bukannya mereka menimba ilmu dan melakukan kajian yang berfaedah kepada kemajuan umat Islam yang pernah menempa sejarah tamadunnya.

Ketahanan jati diri hanya dimiliki oleh umat Islam yang patuh kepada agama. Sehingga hal tersebut sangat menakutkan mereka, hingga ke peringkat merebaknya wabak Islamofobia yang hilang pertimbangan akal dan panduan ilmu yang bermanfaat.

Penularan pandemik Islamofobia yang mendahului penularan pandemik Covid-19 sebenarnya lebih parah daripada virus tersebut, kerana bersabar ketika ditimpa Covid-19 dihukumkan syahid dan dimasukkan ke dalam syurga. Akan tetapi, sekiranya menularnya wabak menghina Islam sehingga seseorang itu mati, maka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan melawan agama Tuhan Allah yang Maha Adil, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa, lagi Maha Suci daripada segala kekurangan.

Ramadhan adalah benteng pertahanan yang kukuh dan menjadi pusat latihan kepada umat Islam dalam segala aspek seperti ilmu, sejarah dan amalan yang membentuk iman, akhlak dan sifat taqwa yang disertakan dengan beramal.

Firman Allah SWT:

﴿وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ١٠٥﴾

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kalian (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kalian lakukan; dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kalian apa yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Taubah: 105)

Fathu Makkah hanyalah sebahagian daripada peristiwa sejarah yang menjadi kebanggaan umat Islam yang berjati diri dan berintegriti.

Kita tidak perlu berbangga sebagaimana Barat berbangga dengan revolusi menentang kezaliman yang lebih parah zalimnya. Kini perkara tersebut menjadi senjata penjajahan pemikiran yang menggoda dengan kebebasan yang sudah merosakkan sifat kemanusiaan yang berfitrah bersih, termasuklah dirosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negaranya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Ramadhan 1442 / 25 April 2021