Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perbahasan Belanjawan 2020 YB Marang: “Perpaduan Dan Kesaksamaan Melalui Belanjawan”

2427
SHARE

PERBAHASAN BELANJAWAN 2020
YB MARANG
“PERPADUAN DAN KESAKSAMAAN MELALUI BELANJAWAN”

Download: INFOGRAFIK PERBAHASAN BELANJAWAN 2020 – YB MARANG (Sebaran rasmi)

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua,

Izinkan saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2020 dengan menyentuh beberapa dasar penting seperti berikut:

  1. Keberkatan Ekonomi
  2. Kesaksamaan Ekonomi
  3. Pendidikan dan Modal Insan
  4. Pertanian dan Jaminan Makanan
  5. Hubungan Antarabangsa

Tan Sri Yang di-Pertua,

Dari Sabah pergi Segamat,

Menuju ke arah Tanjung Piai,

Jangan berbalah sampai Kiamat,

Nanti rakyat hidup terabai.

Saya mulakan ucapan saya dengan mengajak kita semua menghayati akan Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 96:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾ [الأعراف: 96]

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah Al-A’raaf: 96)

Saya tidak perlu menyentuh jumlah angka berbilion ringgit yang diperuntukkan dalam belanjawan kali ini, kerana yang lebih penting ialah kejayaan mengurus dan mentadbir perbendaharaan negara supaya mencapai keredhaan Allah bagi tujuan kesejahteraan rakyat.

Malah seperti dijangka, Belanjawan 2020 telah meneruskan aliran perbelanjaan tinggi oleh pihak kerajaan, sebahagian besarnya adalah untuk perbelanjaan mengurus (81%), namun dilihat banyak meneruskan agenda kerajaan terdahulu dan tiada idea baharu untuk mengubah ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.

Ini dapat dilihat kepada kadar pertumbuhan ekonomi (KDNK) yang sederhana, pelaburan yang perlahan, keyakinan pelabur yang rendah, hutang kerajaan yang meningkat, dan defisit yang terus melebar, di samping bebanan kos sara hidup dan pengangguran graduan yang terus meningkat.

Perlu diingatkan bahawa matlamat utama perbelanjaan kerajaan adalah untuk memberi ‘nilai-tambah’ kepada pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya memastikan ‘kek ekonomi’ terus berkembang untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat secara saksama.

Inilah juga aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, dengan memberikan penumpuan kepada ekonomi bernilai tinggi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Mencari Keberkatan Dalam Ekonomi.

Konsep ‘ekonomi yang berkembang subur dan dikongsi dengan adil’ adalah maksud perkataan ‘Berkat’ yang tiada dalam istilah lain daripada Islam, sehingga wawasannya menjadi jambatan ke Hari Akhirat, bukan sekadar 2030.

Maka kerajaan perlu mengambil kira cara mendapatkan hasil daripada sumber yang halal, tidak membebankan dan menyusahkan rakyat. Perbelanjaannya pula tidak bakhil, tidak bocor dan tidak membazir yang menjadi saudara syaitan.

﴿وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا٢٩﴾ [الإسراء: 29]

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula Engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kesal”. (Surah Al-Isra’: 29)

Saya mengalu-alukan kerajaan Pakatan Harapan meneruskan apa yang baik dilakukan oleh kerajaan terdahulu, yang sepatutnya bertambah baik, tetapi kini dilihat ditahap yang sama dan menunjukkan tidak berkemampuan untuk melakukan reformasi yang holistik, sepertimana yang menjadi slogan yang dilaungkan dalam setiap demonstrasi menjatuhkan kerajaan yang lalu.

PAS mengundurkan diri daripada awal kerana menyaksikan kapalnya sudah ada tanda-tanda yang berbeza destinasi. Kapalnya satu, tetapi ramai yang berebut mahu menjadi nakhoda.

Melihat janji manifesto Pakatan Harapan banyak perkara yang hanya terus tinggal janji. Kita tunggu sahaja wawasan baru yang dilancarkan 2021-2030. Percayalah bahawa cabarannya sangat besar.

Bukan sahaja bagi mencapai ke tahap negara maju, dalam sistem ekonomi bebas yang ada persaingan tanpa belas kasihan, sama ada dalam konsep ekonomi nasional atau global. Cabaran khususnya pula adalah bagi mencapai perpaduan masyarakat majmuk dalam negara.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Konsep Kesaksamaan Dalam Merapatkan Jurang Ekonomi.

Faktor ekonomi hanya salah satu aspek hubungan kaum yang dikatakan adanya jurang yang perlu dirapatkan. Manusia yang punya hati nurani yang berperasaan, tidak mungkin disatukan dengan ekonomi sahaja, kerana manusia tidak puas dengan ekonomi dan terus bersaing.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

لو أن لابن آدم وادياً من ذهب أحب أن يكون له واديان، ولن يملأ فاه إلا التراب، ويتوب الله على من تاب (متفق عليه)

“Sesungguhnya perangai manusia itu, dia punya satu lembah yang penuh emas nescaya dia mahu dua lembah yang penuh emasnya pula. Mulutnya tidak dapat dipenuhi melainkan disumbat tanah. Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat”. (Muttafaqun ‘alaih)

Maka hanya konsep Keadilan yang sebenar sahaja boleh menyatukan hati sekalian manusia. Keadilan yang sebenar bukan hanya persamaan sahaja (equality) tanpa ada kesaksamaan tetapi keadilan mengikut Islam iaitu, “Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya”. Adapun ketepatannya memerlukan Kesaksamaan yang bermaksud:

  1. Hati-hati, ingat-ingat, jaga-jaga, teliti; dan
  2. Memerhatikan, mempedulikan, menghiraukan.

Bukan sekadar meletak secara pengagihan sama-rata sahaja, yang difahami oleh saki-baki pemikiran komunis-sosialis. Tetapi mestilah saksama, perlu menyelesaikan penyusunan masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah dahulu yang bertujuan adu-domba di antara kaum, bandar dan luar bandar, Malaysia Timur dan Barat, Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat.

Sikap yang ditunjukkan terhadap Pantai Timur dalam isu royalti petroleum ternyata pilih kasih (double standard), bertujuan untuk ‘menggoda’ Malaysia Timur dan ‘menindas’ Pantai Timur. Ini menunjukkan tiada kesaksamaan.

Perbezaan kedudukan antara miskin bandar adalah berbeza dengan miskin luar bandar. Walaupun jumlah bantuannya sama, tetapi keperluan dan pulangannya tidak sama. Belum lagi dikira jumlah yang jauh berbeza dan kebolehan yang tidak sama, termasuk kemudahan juga berlainan. Begitu juga kos sara hidup, tahap pendidikan, pengalaman dan hal-hal yang lain.

Dalam lapangan dunia yang berkonsepkan liberal kapitalisme, sistem ekonomi bebas yang wujudnya perlumbaan dan persaingan tanpa kawalan yang sistematik, menjadikan kekayaan itu berpusing dalam kalangan kelompok tertentu sahaja.

Al-Quran menyebutkan:

﴿مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ  وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٧﴾ [الحشر: 7]

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan cara damai, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W.) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya”. (Surah Al-Hashr: 7)

Ayat ini menunjukkan adanya pengurusan dan kawalan yang konsisten oleh pihak yang berkuasa dan hak istimewa kepada kelompok tertentu tanpa meminggirkan golongan yang kuat terhadap yang lemah.

Kawalan yang berkonsepkan  iman dan budiman, ilmu, akidah, akhlak dan syariat (undang-undang yang adil). Dengan janji pahala kepada yang baik dan amaran dosa terhadap zalim, yang tiada dalam prinsip dan konsep ideologi ciptaan manusia.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Membangun Pendidikan & Modal Insan.

Peranan pelajaran dan pendidikan yang membentuk manusia berintegriti tidak cukup dengan pelajaran sahaja tanpa pendidikan.

Pelajaran membawa pengertian: Segala sesuatu yang dipelajari atau yang diajarkan;

Pendidikan pula membawa pengertian: Merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus, dan juga sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih mendalam kepada  pemberian pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan.

Salah satu asas matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan kebudayaan, berilmu dan mencipta kelakuannya. Bukan sekadar berilmu sahaja tetapi cerdiknya boleh ditumpang, bodohnya boleh diajar.

Maka sistem pendidikan hendaklah mengikut acuan yang betul. Bagi memudahkannya mestilah dengan bahasa rasmi rakyat dan negara. Ini menunjukkan betapa peranan Bahasa Kebangsaan perlu diperkasakan menjadi bahasa ilmu.

Kita menyaksikan Jepun, Jerman, bangkit selepas dimusnahkan oleh Perang Dunia Pertama, bangkit berilmu dan berpendidikan dengan bahasa mereka. Begitu juga, China yang muncul kini. Bahasa asing hanya menyokong bagi menimba ilmu daripada pihak yang lain. Adapun mendidik seramai-ramainya rakyat hendaklah dengan bahasa ibunda sendiri.

Bangsa Turki di Asia Tengah dan bangsa Melayu di Nusantara yang beragama Islam pernah ke depan dengan bahasanya yang berhuruf Al-Quran. Membolehkan pendidikan bersepadu mengikut acuan yang sebenar. Maka usaha pembelajaran Jawi kepada anak bangsa perlu disokong dan diteruskan.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pertanian dan Jaminan Makanan

Kita sedia maklum bahawa negara masih bergantung kepada import bahan makanan dan hasil pertanian seperti beras, daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran, walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk menangani masalah ini.

Isu jaminan makanan (food security) adalah isu besar yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan, kerana bukan sahaja boleh menggugat kekuatan negara, malah berkait-rapat dengan nasib para petani dan nelayan di luar bandar yang terjejas dengan turun-naik harga di pasaran dan pertukaran musim yang diluar kawalan.

Namun saya terkejut dengan suatu penulisan oleh seorang pensyarah sains politik yang menyatakan, peruntukan Bajet 2020 kepada agensi-agensi kerajaan yang menjaga kebajikan para petani dan nelayan telah dikurangkan pada tahun 2020 berbanding peruntukan 2019.

Sepatutnya kerajaan membela nasib golongan tani ini dengan pendekatan yang holistik, bukan sekadar memberi bantuan untuk hidup, tetapi perlu dibangunkan teknologi pertanian, industri hiliran dan sistem pemasaran yang efektif untuk meningkatkan produktiviti dan sumbangan segmen ini kepada ekonomi negara.

Malah saya turut mendengar keluhan para nelayan di Pantai Timur, yang saban kali kami suarakan di Dewan yang mulia ini, agar kerajaan menangani masalah pencerobohan nelayan asing yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan,

di samping masalah hakisan ombak yang mengancam kehidupan penduduk di sepanjang pantai, khususnya di negeri Terengganu.

Semuanya ini memerlukan perhatian, kerjasama dan peruntukan besar oleh agensi Kerajaan Persekutuan.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Hubungan Ekonomi Antarabangsa.

Hari ini kita sedang menyaksikan tamadun Barat yang maju sains dan teknologinya, menunjukkan tanda merudum kemanusiaannya.

Kepimpinan negara yang bercelaru, keruntuhan moral individu dan institusi keluarga, mencipta senjata pemusnah, merosakkan alam sekitar sehingga mengancam diri sendiri.

﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾ [الروم: 41]

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Surah Ar-Ruum: 41)

Sepatutnya kita membangunkan ekonomi negara dengan sumber kita sendiri, tenaga rakyat kita, dan hasil bumi kita. Dalam masa yang sama mengambil manfaat daripada yang positif daripada seluruh penjuru dunia. Dengan semangat kemerdekaan yang tidak bergantung kepada pihak yang lain, serta bermasyarakat madani ke peringkat antarabangsa.

Sewajarnya Malaysia mengambil pendekatan hubungan antarabangsa dengan mengutamakan negara jiran dan negara yang bertimbang rasa, bukan dengan negara lain yang masih mahu menjajah dan menjadikan kita buah catur dalam persaingan mereka.

Selain itu adalah amat malang apabila kita menyaksikan penjualan aset, hartanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor strategik kepada pihak asing. Tindakan jalan pintas ini sebenarnya akan merugikan negara dalam jangka masa panjang, kerana segala keuntungan akan menjadi milik orang, dan yang lebih merugikan adalah hilangnya peluang pekerjaan untuk anak tempatan terlibat dalam bidang teknologi tinggi.

Lebih mengejutkan apabila Menteri Kewangan boleh pula mengumumkan bahawa, rumah kediaman (kondominium dan apartmen) di negara kita dengan mudah mahu dijual kepada warga asing pada harga RM600 ribu, menyebabkan pemilikan hartanah yang sepatutnya dipegang oleh rakyat tempatan akan hilang selamanya. Pengumuman ini sangat mengecewakan, dan kami mendesak Kerajaan menarik balik cadangan ini.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Mutakhir ini negara digemparkan dengan penangkapan beberapa individu dan pemimpin politik di pihak Kerajaan, yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang dikatakan menyokong fahaman pelampau LTTE.

Lebih malang apabila ada Ahli Parlimen Kerajaan yang tanpa segan silu menyatakan, perjuangan LTTE di Sri Lanka adalah sama dengan perjuangan warga Palestin. Ini amat bercanggah dengan realiti dan fakta sejarah.

Memandangkan kes ini merupakan suatu perkara berkepentingan awam, PAS mendesak supaya kerajaan membentangkan suatu Kertas Putih di Parlimen mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak-pihak yang disyaki terlibat dengan gerakan pelampau LTTE di Malaysia.

Dalam hal ini, PAS menghormati kesungguhan pihak PDRM menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, serta menggesa agar pihak PDRM diberikan ruang yang bebas untuk menyiasat dan mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu, tanpa campur tangan dan gangguan mana-mana pihak.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya mohon agar segala perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak Kerajaan supaya perpaduan negara kita terus kukuh, ekonominya terus berkembang, dan kemakmurannya dikongsi secara saksama.

Terima kasih.