Home Artikel PAS Sabah

Urus peruntukan RM 5.2 bilion dengan adil – PAS Sabah

395
SHARE

Oleh : Mustaman Bin Mustain

15 Oktober 2019

SANDAKAN : Peruntukan RM 5.2 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan 2020 perlu diuruskan dengan baik oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan seluruh rakyat menikmati peruntukan tersebut secara adil dan saksama.

Demikian kata Sahar Abdul Majid, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah hari ini ketika diminta mengulas berkenaan belanjawan negara untuk Sabah yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan jumaat lepas.

“Antara perkara yang perlu diberi peruntukan lebih ialah dalam menyediakan lebih banyak Rumah Kos Rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk keperluan rakyat yang berpendapatan rendah di negeri ini,” katanya.

Ulasnya, ia sangat penting bagi memastikan rakyat yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dapat menikmati kediaman yang lebih selesa daripada mendiami rumah-rumah setinggan.

“Kita gesa kerajaan agar menyediakan sebanyak mungkin rumah PPR ini bagi keselesaan rakyat berbanding mereka terus mendiami rumah setinggan di tanah kerajaan atau perseorangan,” jelasnya.

Sahar yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan turut mengingatkan agar pelaksanaan projek ini tidak tiris dan terhindar daripada penyelewengan serta rasuah yang boleh menggagalkannya.

Beliau menambah, tidak kurang 10 buah kebakaran telah berlaku sejak 2018 yang melanda perkampungan setinggan dan menjejaskan ribuan mangsa.

“Mereka telah kehilangan tempat tinggal dan kaedah terbaik untuk kelangsungan hidup mereka ialah dengan menyediakan rumah-rumah kos rendah ini untuk didiami,” ujarnya lagi.

“Perkara ini merupakan isu kritikal yang melanda kebanyakan rakyat negeri ini terutama di Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tawau dan Kota Kinabalu yang juga melibatkan isu keselamatan dan keselesaan,” tegasnya.