Home Uncategorized

Perang Ukraine mendedahkan wajah sebenar

660
SHARE

Minda Presiden PAS
PERANG UKRAINE MENDEDAHKAN WAJAH SEBENAR


Perang yang sedang berlaku hari ini laksana batu besar yang dihempap ke dalam lubuk yang tenang dan disangkanya tiada buaya. Tiba-tiba hasil percikan airnya mendongakkan kepala negara yang berslogankan demokrasi suara rakyat menjadi tuhan hanyalah suatu penipuan dan kesesatan.

Ternyata palsunya alasan mereka, apabila rakyat ditipu dan disogok. Mengapakah negara-negara Barat yang menjunjung demokrasi sanggup dipimpin oleh kuasa yang merasakan mereka satu-satunya kuasa tunggal? Seterusnya, mereka memilih untuk bersama-sama negara Eropah, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara yang berkiblat ke arahnya tampil mempertahankan demokrasi kuasa rakyat itu yang telah bertukar lebih melampau menjadi penceroboh.

Rakyat di negaranya sendiri sudah menjadi mangsa yang diperhamba oleh para pemimpin yang sebenarnya hanyalah mahu berkuasa laksana tuhan dengan kerakusan nafsunya, apabila slogan yang disebutkan itu tunggang terbalik. Hal ini demikian kerana, mereka bersifat dengan sifat kebendaan yang terlampau rakus dan melampau dalam segala perkara, disebabkan terpisah daripada agamanya dan hilang akhlaknya.

Apabila rakyat memberikan kuasa kepada pemimpin bagi pihak rakyat, maka rakyat hanya dipergunakan dalam percaturan yang telah merobekkan demokrasi yang dibangga-banggakan itu. Bahkan, telah disaksikan berlakunya pertembungan di Amerika Syarikat sendiri dalam Pilihan Raya Presiden yang baharu sahaja diadakan baru-baru ini, apabila pemilihan tersebut bertukar menjadi budaya samseng.

Dahulunya mereka mengadakan perang dingin dengan blok yang tidak sehaluan dengannya. Kini, ia bertukar menjadi perang bersenjata yang membakar hangus sesama sendiri kerana tawaran demokrasinya sudah melanggar sempadan negara lain.

Kini sudah terdedah bahawa slogan demokrasi yang dilaungkan bukanlah untuk kebaikan sejagat, tetapi hanyalah semata-mata bagi menjaga kepentingan sekumpulan manusia yang telah gila kuasa. Malah, turut mengorbankan sesama manusia demi mencapai agendanya sahaja.

Terdedah wajahnya yang bersikap ‘double standard’ terhadap negara lain yang dianggap sebagai manusia tidak setaraf sepertimana mereka. Mereka boleh memberikan lesen kepada kalangan ‘dictatorship’ (golongan diktator) yang nyata sepertimana mereka pernah memerintah Iraq, Afghanistan dan lain-lain.

Selain itu, mereka juga menyalakan api perang proksi secara khusus di negara-negara umat Islam yang dipertahankan dengan menyalurkan bantuan kewangan yang besar dan membekalkan senjata. Bahkan, mereka juga menghantar bala tentera bagi mempertahankannya, sekalipun tindakan itu menindas dan membunuh rakyat dengan keganasan yang melampau.

Dalam pada itu, pelarian yang menjadi mangsa perang di negara yang menjadi mangsa keganasan mereka pula dipandang dengan sebelah mata tanpa sifat perikemanusiaan. Sehinggakan, tanpa mempedulikan pelarian itu tidak sepertimana yang dilayan kini kepada pelarian Perang Ukraine yang berbangsa Yahudi atau berkulit putih. Mereka dengan lantang membela pelarian itu sebagai manusia sebenar, tidak seperti manusia yang lain.

Media Barat pula membuat liputan bagi menarik simpati seluruh manusia di atas muka bumi dengan berbagai-bagai alasan tanpa mengira sama ada ia berita yang benar mahupun bohong semata-mata bagi menarik perhatian dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh cabangnya juga turut dikerahkan, termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi membela negara tersebut di atas nama melampau dan melakukan kekejaman terhadapnya.

Pada masa yang sama, mereka juga melancarkan perang ekonomi walaupun terpaksa menyusahkan rakyat mereka sendiri. Sehinggakan, sukan dijadikan senjata untuk melawan musuhnya.

Adapun tindakan melampau yang pernah mereka lakukan di beberapa negara telah nyata dilaporkan berlaku sebelum ini, langsung tidak boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana mereka mempunyai kekebalannya. Prinsipnya laksana undang-undang di rimba, siapa yang kuat akan berdaulat mengikut kemahuannya.

Demokrasi bebas yang dikatakan itu hanyalah untuknya sahaja. Adapun demokrasi yang memenangkan bukan dalam kalangan yang pro kepada mereka, khusus negara Islam seperti di Algeria, Mesir dan pernah diusahakan penggulingan kerajaan di Turki tidak diterima sama sekali.

Bahkan, pilihan raya yang diadakan di Iran hari ini juga tidak diiktiraf, begitu juga kemenangan Hamas di Gaza melalui pilihan raya juga dianggap tidak sah. Perang yang dicetuskan di Syria, Yaman, Somalia dan negara seumpamanya adalah semata-mata demi menjaga keamanan mereka dalam menentang kononnya yang dikatakan kelompok pengganas.

Wajah yang terdedah kini, kononnya mereka ialah pengikut Nabi ‘Isa AS yang memperjuangkan perdamaian. Sehinggakan, mereka menyorong pipi kiri kalau ditampar pipi kanan.

Pada masa yang sama, mereka sanggup bersekongkol dengan Yahudi Zionis yang diimaninya telah membunuh dan menyalib Nabi ‘Isa AS. Perkara yang ditolak oleh ajaran Islam, tetapi menjadi amalan agama sepertinya.

Adapun bagi umat Islam telah dinyatakan petunjuk Allah SWT terhadap penganutnya yang sebenar tentang hakikat puak Yahudi itu sebagaimana firman-Nya:

﴿۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ٨٢ وَإِذَا سَمِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَى ٱلرَّسُولِ تَرَىٰٓ أَعۡيُنَهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ ٱلۡحَقِّۖ يَقُولُونَ رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱكۡتُبۡنَا مَعَ ٱلشَّٰهِدِينَ٨٣﴾

“Sesungguhnya kalian mendapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya kalian mendapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Sesungguhnya kami ialah orang Nasrani’. Hal ini demikian kerana, antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat kalangan pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. (82); Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (al-Quran) yang telah mereka ketahui (daripada kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad SAW).’ (83)” (Surah al-Ma’idah: 82-83)

Ayat di atas menunjukkan adanya dalam kalangan penganut Kristian yang melakukan perbuatan syirik dan bersekongkol dengan Zionis kerana pengaruhnya, sehingga sanggup bersama dengan golongan yang dituduh membunuh nabinya yang dianggap sebagai anak tuhan itu. Maka, segala salah laku yang lain adalah lebih ringan bagi mereka.

Namun, terdapat mazhab Kristian yang tidak boleh dipengaruhi oleh kalangan Yahudi Zionis. Maka, kini sedang berlaku ujian yang membezakan antara kedua-dua kumpulan Kristian ini dengan berpandukan petunjuk al-Quran.

Al-Quran mengajar penganut Islam supaya memberikan perlindungan kepada semua pelarian bukan secara terpilih, kerana firman Allah SWT dalam al-Quran:

﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾

“Dan jika ada seseorang antara orang-orang Musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dirinya supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkannya ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Tawbah: 6)

Ayat di atas sekali gus menunjukkan bahawa Islam telah mendahului piagam yang dimeterai dalam Konvensyen Geneva supaya melindungi pelarian tanpa terpilih. Malah, Malaysia pernah menempa sejarah tersendiri apabila memberikan perlindungan kepada pelarian bukan Islam yang menjadi mangsa Perang Vietnam dan menghantarnya ke negara ketiga, bukan sahaja menerima pelarian Rohingya yang beragama Islam.

Maka, Perang Ukraine kini mendedahkan wajah yang tidak ikhlas dan sekali gus menunjukkan percaturan mereka hanyalah demi kepentingan kumpulan tertentu. Tanpa mereka pedulikan kehidupan manusia yang bermasyarakat majmuk.

Justeru, negara yang bernaung di bawah payungnya selama ini perlu bermuhasabah kerana ternyata payung yang memayungi mereka hanyalah kertas berwarna yang menipu.

Kepada negara-negara Islam, selamatkanlah umat dengan kembali kepada dasar yang menyatukan. Perkasakanlah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya berubah daripada sekadar menganjurkan forum bercakap dan berucap kepada bertindak dengan membina kekuatan sendiri tanpa Timur dan Barat, tetapi kepada risalah sejagat dengan kekuatan sumber sendiri.

Manfaatkanlah hasil bumi yang melimpah-ruah semua jenisnya yang dikurniakan Allah SWT dalam perut buminya. Laksanakanlah pelaburan di bumi sendiri yang mesti didahulukan, janganlah mencurah kekayaan ke negeri-negeri orang yang menipu.

Gantikanlah sandaran kewangannya daripada dolar (USD) dan Euro yang palsu, kepada dinar yang sebenar. Berpindahlah daripada kebergantungan kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengamalkan riba serta menipu dan menindas sesama manusia, kepada tabung kewangan Islam yang membawa rahmat.

Satukanlah tenaga manusia dalam konteks masyarakat majmuk yang berkonsepkan adil kepada semua, tanpa bersikap melampau dan menceroboh. Zaman penjajahan pasti akan ditamatkan, lantas zaman yang merdeka wajib ditegakkan.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 7 Sya‘ban 1443 / 10 Mac 2022