Home Berita PAS Pusat

Perang Tabuk : Akibat beralasan dalam berjuang

3633
SHARE

PERANG TABUK : AKIBAT BERALASAN DALAM BERJUANG

Perang Tabuk merupakan ujian terbesar buat tentera Islam walaupun hakikatnya tidak berlaku peperangan yang menumpahkan darah. Ditakdirkan peristiwa ini oleh Allah untuk menguji kejujuran hati para sahabat dalam berjuang.

Saat semboyan jihad berbunyi ada dikalangan para sahabat yang berat untuk berangkat atas beberapa faktor yang lebih menguntungkan diri mereka.

Empat ujian besar yang menguji tentera Islam ketika itu:
1. Berlaku pada musim panas
2. Umat Islam terpaksa berhadapan dengan kuasa besar dunia iaitu Rom dan beberapa gabungan kabilah Arab.
3. Berlaku ketika musim buah-buahan sedang masak di Madinah.
4. Kuantiti tentera musuh jauh lebih ramai daripada tentera Islam.

Ramai para sahabat bertemu Rasulullah SAW dan mengemukakan alasan kenapa tidak turun berperang. Namun ada di antara mereka yang jujur serta mengaku bersalah di hadapan Rasulullah SAW iaitu Murarah bin Rabi’, Hilal bin Umayyah dan Ka’ab bin Malik. Rentetan itu, Rasulullah SAW memulau tiga sahabat tersebut sebagai hukuman.

Mengapa mereka yang jujur dikenakan hukuman sedangkan mereka yang berdusta dilepaskan oleh Rasulullah SAW?

Inilah tarbiah yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat. Hukuman ini mengajarkan orang-orang yang beriman bahawa tiada kompromi dalam perjuangan dan tanggungjawab menjaga agama ini bukanlah satu senda gurauan.

Antara salah seorang sahabat yang dihukum adalah Ka’ab bin Malik, seorang pemidato, pendebat dan mampu menuturkan syair-syair indah secara spontan. Beliau tidak pernah ponteng sebarang siri peperangan bersama Rasulullah saw kecuali di Tabuk.

Ketiadaannya di Tabuk dapat dikesan awal oleh Rasulullah SAW. Walaupun bakti Ka’ab sangat besar, beliau tetap dikenakan hukuman. Malah Rasulullah SAW menyuruh beliau pulang sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Beliau menjalankan hukuman itu dengan penuh penyesalan kerana tahu apa yang dilakukannya itu salah dan Rasulullah SAW hukum atas perintah Allah SWT.

Ketika itu datanglah musuh yang cuba menghasut Ka’ab meninggalkan Islam. Utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat untuk memujuk Ka’ab bin Malik ke Syam kerana beliau sudah dipulaukan oleh para sahabat. Maka Ka’ab mengambil surat itu lalu dibakar kerana menyedari itu adalah ajakan syaitan dan iblis. Pelawaan itu merupakan ujian keikhlasan buat beliau.

Pada hari ke-50, akhirnya turun wahyu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka. Itulah hari paling bahagia dalam hidup mereka.

وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (at-Taubah: 118)

Realiti hari ini semakin sukar mencari sosok seumpama Ka’ab dalam perjuangan. Jujur mengaku salah atas kekhilafan yang dilakukan dan tidak memberontak kepada arahan pimpinan.

Tidak ramai mampu seperti Ka’ab yang menolak pelawaan Raja Ghassan yang menawarkan kesenangan jika beliau sanggup bergabung memusuhi Islam. Lebih dahsyat lagi disebabkan apa yang nafsu ingini tidak tertunai dalam organisasi ada segolongan individu sanggup mengikuti telunjuk musuh. Menjulang slogan menuju kebenaran padahal sedang menuju kebinasaan.

Jadikanlah perang Tabuk ini sebagai medan kita bermuhasabah adakah benar-benar berjuang demi meninggikan kalimah Allah SWT sama ada dalam keadaan senang dan susah. Semoga kita terselamat daripada budaya beralasan yang semakin barah dalam perjuangan.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

#RamadanKareem
#Ramadan1442