Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Peranan Wanita Sebagai Kuasa Penentu Politik Negara

2853
SHARE

1. Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini bakal menyaksikan keyakinan rakyat untuk memberikan mandat pemerintahan negara maka antara yang menjadi pengundi majoriti adalah golongan wanita bagi membawa suara mereka dalam mengatur polisi dan dasar negara khususnya melibatkan kepentingan kaum wanita.

2. Realiti sebenar kelompok wanita di Malaysia terbahagi kepada dua segmen; wanita bandar dan wanita luar bandar. Perbezaan keduanya dapat dilihat terutama dari sudut latar belakang pendidikan, pekerjaan, gaya hidup dan capaian maklumat.

3. Penilaian ini mampu memberikan kesan dalam menentukan keputusan PRU 14 maka sewajarnya wanita perlu menterjemahkan impian untuk melihat perubahan negara sekaligus membuktikan satu penanda aras keinginan mewakili pengundi wanita.

4. Kedua kelompok ini mempunyai fungsi dan keistimewaan yang sama terutama sebagai nadi dalam keluarga dan masyarakat biarpun berbeza dari sudut posisi profesion serta kedudukan geografi.

5. Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lebih 51% daripada keseluruhan pengundi berdaftar iaitu 14,968,229 di Malaysia adalah wanita. Ini menjadi bukti bahawa wanita penentu kuasa politik negara.

6. Penentu kuasa politik negara ini merupakan satu perkara penting agar ianya difahami dengan baik oleh wanita dan sewajarnya ia wajib diterjemahkan atas kertas undi pada PRU 14 akan datang.

7. Muslimat PAS dengan penuh harapan dan optimis ingin mengajak kepada semua wanita seluruh negara tidak kira di mana sahaja, baik di bandar, luar bandar mahupun di pedalaman agar turun menyatakan pendirian dalam PRU 14 kali ini.

8. Buatlah pilihan terbaik demi masa depan anak bangsa agar kemajuan negara serta kurniaan rezeki di tanahair sendiri mampu dinikmati bersama serta segala kehidupan kita memperolehi keberkatan dari Allah SWT.

9. Kami Muslimat PAS penuh iltizam membawa Tawaran Wanita Sejahtera khusus untuk wanita merangkumi wanita berkerjaya, suri rumah, wanita yang ditinggal atau kehilangan suami juga wanita warga emas dan OKU. Semua akan merasai kesejahteraan Islam yang menjadi rahmat untuk semua termasuk kepada mereka yang bukan Islam.

Malaysia Sejahtera
Sejahtera Bersama Islam

Muslimat Memacu Kemenangan

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
6 April 2018 bersamaan 19 Rejab 1439