Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Penyelewengan Terhadap Ajaran Allah SWT Faktor Utama Perpecahan

61
SHARE

Oleh: Tengku Tasnim

SHAH ALAM, 18 Oktober – Faktor paling utama yang menimbulkan perpecahan ialah penyelewengan yang dilakukan terhadap ajaran Allah SWT, ujar Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPM) yang berlangsung di IDCC.

Beliau mengingatkan agar Dewan Muslimat PAS di semua peringkat memastikan tidak wujud bibit-bibit perpecahan di peringkat dalaman.

“Jangan sampai kita terjebak dengan dosa-dosa besar dan selesa melakukan dosa-dosa kecil yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan penghalang daripada kemenangan yang diredhai Allah,” tegas beliau lagi.

Memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat 63, Ustazah Nuridah menjelaskan bahawa selama mana kita sentiasa berpegang dengan tali Allah iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan menjauhi pelbagai penyakit hati, hati-hati itu akan dipegang oleh Allah SWT.

Tambahnya lagi, bagi mengenalpasti dan memulihkan bibit-bibit perpecahan, penting bagi muslimat untuk mengamalkan tarbiyah zhatiyah (tarbiyah kendiri) berpandukan agenda tarbiah yang disusun dalam tanzim tarbiah oleh Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

“Dengan kesatuan ini, PAS mampu meningkatkan lagi kepercayaan kepada rakan Perikatan Nasional (PN) dan para pengundi dalam usaha kita meraih kemenangan yang hakiki,” ulasnya lanjut.