Home Artikel PAS Perlis

Penyatuan Ummah Suatu Tuntutan

622
SHARE

Oleh: Amirul Syakirin

KANGAR: Penyatuan ummah yang dibawa oleh PAS dan UMNO adalah satu tuntutan bagi umat Islam zaman kini, di dalam misi meneguhkan kedudukan Islam di Malaysia.

Demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam program Ceramah Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan 2020 pada 29 September lalu.

Beliau berkata, hanya Islam sahaja yang dapat menyatukan umat manusia kerana berdasarkan lipatan sejarah Islam, manusia dapat bersatu setelah umat Islam disatukan.

“Adapun agama atau fahaman lain, telah gagal sama sekali di dalam misi menyatukan umat manusia ini,” tegas beliau.

Tambah beliau, baginda Nabi telah diutuskan ke muka bumi untuk menyempurnakan akhlak manusia sekaligus menyatukan hati-hati mereka dengan satu pegangan yang begitu ampuh, yakni Islam.

“Negara Arab yang terkenal dengan sikap bengis, peperangan dan pembunuhan adalah menjadi kesukaan mereka, lalu Islam datang menjinakkan akal dan roh mereka untuk bersatu dan meninggalkan permusuhan.

“Di Kota Madinah, baginda menyatukan umat Islam tidak mengira kaum dan latar belakang, akhirnya Islam dilihat kuat kerana bersatu berbanding dengan bangsa musyrik yang berpecah di antara mereka,” ujar beliau.