Home Artikel PAS Wilayah

Keadilan Yang Perlu Ditegakkan

425
SHARE

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan: Keadilan Yang Perlu Ditegakkan

1. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan rasa syukur atas keputusan Inkues Kematian Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim yang telah dibuat oleh Koroner Rofiah Mohamad pada pagi Jumaat, 27 September 2019. Ia merupakan keputusan yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran yang perlu ditegakkan.

2. Kami menyeru pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat segera bertindak memberkas kumpulan penjenayah yang membelasah Allahyarham Muhammad Adib sehingga cedera parah dalam kejadian rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November 2018.

3. Rakyat Malaysia juga tidak akan pernah lupa gelagat Menteri Pakatan Harapan dan pemimpin DAP yang membakar sentimen api perkauman melalui kenyataan bersama mereka di Parlimen pada 26 November 2018 iaitu sehari sebelum kejadian. Antara pemimpin tersebut ialah P Waythamoorthy (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) , M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia), Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia) , Xavier Jayakumar, (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli) dan R Sivarasa (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar).

4. Keputusan Inkues Kematian Allahyarham Muhammad Adib ini merupakan suatu tamparan yang hebat kepada Peguam Negara, Tommy Thomas. Dia secara jelas telah menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April 2019 dengan menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib bukanlah sebab dipukul. Bagaimana Peguam Negara boleh bertindak sedemikian rupa dalam keadaan inkues masih berjalan pada ketika itu.?

5. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dengan tegas menyatakan pendirian mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memecat segera Peguam Negara Tommy Thomas demi memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat jelata terhadap institusi Peguam Negara yang berfungsi menegakkan keluhuran undang-undang.

Keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib mesti diperjuangkan sehinggalah penjenayah yang terlibat mendapat hukuman yang setimpal atas perbuatan kejam mereka yang memukul sehingga menyebabkan kematian seorang insan yang berkhidmat secara jujur dan ikhlas.

Mohammad Rashidi Abdul Razak
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
27 September 2019