Home Berita PAS Melaka

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi, sah calon Perikatan Nasional Senggarang

311
SHARE
Khairul Faizi (tengah) bersama YB Kak Lah (Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff) sebelum ke Pusat Penamaan Calon

Oleh IBNU JANIE

BATU PAHAT, 26 Feb: Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, disahkan sebagai calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 15.

Perkara ini diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan ini selepas selesai proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Seri Intan, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini, sebentar tadi.

Khairul Faizi berdepan persaingan lima penjuru menentang calon daripada BN, Mohd Yusla Yusof, calon PH-PAN, Abd Hamid Jamah, calon Pejuang, Zalihah Jaffar dan seorang calon bebas.

Kerusi DUN Senggarang telah dimenangi oleh Khairuddin A. Rahim daripada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lepas dengan memperolehi 10,568 undi menewaskan calon PAS, Mohd Ramli Kari (2699 undi) dan calon BN, Zaidi Jaafar (9759 undi) dengan majoriti sebanyak 809 undi.

Pada PRU-14 yang lepas juga PH telah membentuk kerajaan setelah memenangi 36 kerusi, manakala BN memperolehi 19 kerusi sementara PAS pula mendapat satu kerusi daripada 56 kerusi keseluruhan di dalam Dewan Undangan Negeri Johor dengan sebanyak 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan secara majoriti mudah.

PRN ini diadakan setelah DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Januari lepas dengan perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkaitan perkara itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari yang sama.

SPR sebelum ini mengumumkan bahawa penamaan calon ditetapkan pada hari ini, mengundi awal pada 8 Mac sementara pembuangan undi adalah pada 12 Mac.

Kenderaan membawa Khairul Faizi tiba di Pusat Penamaan Calon