Home Berita PAS Wilayah

Penjualan Minuman Keras: DPPWP Sokong Tindakan DBKL, Selar Kenyataan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan

128
SHARE

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

1. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) ingin menzahirkan rasa syukur dan tahniah atas usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah berjaya memperketat penjualan minuman keras melalui pelaksanaan Garis Panduan (GP) dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras WPKL berkuat kuasa 1 November 2021 baru-baru ini.

2. Tindakan tersebut menunjukkan suara warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan garis panduan penjualan minuman keras ini dapat diperketat telah didengar oleh pihak berwajib terutamanya DBKL.

3. Langkah tegas ini sememangnya amat dinantikan oleh rakyat susulan peningkatan kes kemalangan berkaitan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini. Ianya juga selaras dengan kenyataan DPPWP bertarikh 17 November 2020 yang konsisten menyokong usaha baik DBKL demi menjaga keselamatan dan nyawa warga kota.

4. Dalam usaha DBKL mengekang peningkatan kemalangan berkaitan kes pemandu mabuk, ada pula golongan yang membantah penguatkuasaan baru ini atas alasan membebankan masyarakat bukan Islam.

5. Perlu diingat, penguatkuasaan ini dilakukan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada serta melibatkan semua pihak termasuk sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti persatuan pengilang, pembotol dan peruncit, majlis perwakilan penduduk mahupun Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri.

6. DPPWP amat kesal dengan kenyataan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menentang penguatkuasaan garis panduan baharu ini dan menuduh DBKL tidak adil dalam membuat keputusan.

7. Dakwaan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap garis panduan baharu ini boleh menjejaskan imej dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia (World Class City) adalah tidak berasas sama sekali.

8. Sebaliknya, dengan memperketatkan garis panduan baharu inilah salah satu strategi DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai “World Class City” dengan menjaga keselamatan warga kota sekaligus meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi selamat untuk dikunjungi pelancong.

9. Kenyataan tersebut juga menunjukkan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak serius dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk mengekang peningkatan kemalangan berkaitan kes pemandu mabuk yang boleh memberi kesan buruk kepada warga kota sehingga menyebabkan kematian.

10. Seharusnya Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif yang sama dalam membendung kebejatan implikasi minuman keras terhadap masyarakat di negara ini dan bukannya menyokong budaya minuman keras dalam kalangan masyarakat.

11. DPPWP akan sentiasa menyokong dan mendokong ketegasan Kementerian Wilayah Persekutuan serta pihak DBKL dalam usaha untuk membanteras ketidakpatuhan terhadap larangan penjualan minuman keras yang telah terbukti membawa kesan buruk terhadap semua lapisan masyarakat, sama ada kesan terhadap keluarga, komuniti mahupun negara.

 

Mohd Farkhan Md Zain

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan