Home Rencana PAS Kelantan

Peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan; sebelum nasi menjadi bubur

273
SHARE
Mengejutkan apabila mendengar kenyataan yang dibuat oleh Polis Kelantan yang menyatakan berlaku peningkatan kemasukan kenderaan dari arah Utara dan Selatan ke negeri Kelantan. Bahkan kenderaan di dalam bandar Kota Bharu juga bersesak kerana rakyat mulai membuat persiapan Hari Raya AidilAdha.
Masih ingatkah kes positif COVID-19 di negeri Kelantan pada bulan Mei yang naik secara mendadak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ? Kerana wujudnya kluster baru akibat perantau yang pulang ke kampung dan aktiviti ziarah menziarahi. Hari ini, sekali lagi hal inilah yang kita cuba elakkan daripada berlaku di musim perayaan AidilAdha yang bakal disambut pada Selasa nanti.
Sebelum nasi menjadi bubur suka untuk saya ingatkan kepada seluruh rakyat Kelantan samada yang berada di dalam Kelantan dan juga luar Kelantan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerana hari ini kita tidak hanya menjaga diri sendiri sahaja tetapi juga menjaga kesihatan dan keselamatan orang sekeliling yang kita cintai.
Kerjasama rakyat pada saat ini sangat penting bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. Rentas negeri seharusnya ditangguh sehingga suntikan vaksin selesai yang dijangka bulan 10. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang lain kerana inilah yang disarankan dalam maqasid syariah yang menekankan keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Tidak berjumpa ibu bapa dalam suasana pandemik ini bukan bermakna tidak menyayangi mereka tetapi inilah pilihan yang bertanggungjawab dalam memelihara nyawa (hifz an-nafs) demi melindungi keluarga masing-masing. Pastinya akan ada pahala buat yang bersabar. Moga Allah mengampuni kita dan menyelesaikan masalah negeri dan negara daripada ancaman wabak covid yang menggerunkan ini.