KUALA TERENGGANU – Tidak hanya rakyat negeri ini sahaja teruja menyambut Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang julung-julung kali diadakan di sini malah turut menarik pengunjung dari luar Terengganu untuk hadir bagi memeriahkan program.
Acara yang diadakan selama tiga hari itu telah dibanjiri oleh 70,000 keluarga Malaysia dari seluruh negara yang rata-ratanya ketika ditemui menyatakan keterujaan apabila mendapat tahu ia diadakan di negeri ini sehingga sanggup datang dari jauh.
Salah seorang pengunjung dari Shah Alam, Mohd Rizal Fatah, 37 menyifatkan Terengganu sangat beruntung kerana terpilih diadakan acara ini.
“Sangat bertuah, kita dapat lihat pada malam ini ia dihadiri oleh pelbagai bangsa, mungkin kalau diperhatikan betul-betul akan terdapat pelancong luar negara setelah dua tahun tidak diadakan upacara besar sebegini apabila negeri ini menjadi tuan rumah sudah tentu ia menarik minat saya untuk hadir semata-mata ke program ini.
“Sebagaimana kita sedia maklum Terengganu kini menjadi ikon pelancongan negara bagi saya sangat sesuai ia dipilih untuk diadakan acara sebegini,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada program terbabit, semalam.
Manakala bagi Azrie Akmal Azami, 24 , pula berkata perjalananya dari kedah ke Terengganu bersama keluarga ternyata berbaloi apabila dapat menghadiri MRTM berkenaan.
“Di mana bagi saya majlis ini sungguh meriah, mempersonakan dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang memperlihatkan keunikkan yang ada di negara kita ini, serta dapat bersama dengan pimpinan utama dalam negara.
“Dari segi makanan pula semua ada, dan saya apabila datang ke Terengganu ini antara menu utama kegemaran saya yang ada pada malam ini ialah Nasi Dagang, Insya-Allah saya akan ambil masa lama sedikit di sini dimana selepas majlis ini saya akn berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di sini, diantaranya kami akan pergi ialah ke Tasik Kenyir,”ujarnya.
Sementara itu pengunjung dari negeri ini, Siti Nur Syafikah Mohd Nazari, 27, berkata sangat berbangga sebagai rakyat Terengganu dengan diadakan program tersebut.
“Saya dapat tahu program ini melalui hebahan di media sosial dan saya lihat video di lama web kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sangat kagum terasa bukan seperti di Terengganu ternyata negeri kita ini semakin jauh ke hadapan dan menjadi tumpuan bukan sahaja negara bahkan dunia.
“Apabila tiga hari lepas saya melalui ‘Drawbrigde’ terlihat persiapan program ini, saya sangat teruja ‘wow’ terasa bukan macam dekat negeri sendiri, terasa sangat bangga apabila ‘event’ besar sebegini diadakan di negeri kita, malah telah memlih ‘Drawbrigde’ yang selama ini mercu ini menjadi kebanggan kita semua Semoga ini menjadi permulaan yang baik buat negeri ini dan akan terus berkembang maju dan membangun.
“Paling utama, semua yang hadir malam ini tidak hanya dari Terengganu, ramai dari luar datang dengan kepelbagaian kaum maka aspirasi keluarga Malaysia dapat diterjemahkan,”ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Haizat Kama, 30, berkata pada awal mendapat tahu mengenai perkembangan program begini diadakan terdetik kebimbangan kerana selama ini takut berlaku sesuatu di luar jangka yang akan menjejaskan imej negeri Terengganu.
“Dimana kita tahu rakyat negeri ini sangat sensitif dengan hiburan-hiburan melampau, namun saya melihat program ini berjaya mematuhi garis panduan hiburan yang ditetapkan, semoga perkara ini akan bertambah baik di masa hadapan.
“Dalam masa yang sama dengan penganjuran program ini yang turut diselit dengan hiburan, kesenian dan kebudayaan ini menampakkan bahawa polisi kerajaan tidak menghalang hiburan asalkan patuh syariah serta tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan di dalam Islam,”ujarnya.