Home Berita PAS Pahang

Hubungan ibubapa, guru dan sekolah pastikan kejayaan anak-anak tercapai

72
SHARE

Oleh: AZURA AWANG

PAYA BESAR, 22 Mei :: Hubungan ibubapa dalam rumahtangga yang harmoni yang meluangkan masa bersama anak-anak disertai hubungan ibubapa dengan pihak sekolah akan memastikan kejayaan anak-anak tercapai.

Demikian intipati ucapan Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya sewaktu merasmikan mesyuarat agung Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Al-Itqan, di Kampung Chendering dekat sini pagi tadi.

“Kolaborasi antara ibubapa dan sekolah sangat penting bagi memastikan kejayaan anak-anak. Dulu-dulu gangguan terhadap anak-anak tidak kuat berbanding zaman sekarang kerana anak-anak zaman kini sangat mudah dengan capaian internet.

“Ibubapa mesti memastikan pendidikan di sekolah dipanjangkan dirumah. Saya sendiri yang juga menguruskan sebuah sekolah, biasa melihat pelajar yang bermasalah ini biasanya datang dari ibubapa yang bermasalah,” kata Mohd Tarmizi di hadapan kira-kira 50 orang ibubapa.

Beliau juga mengingatkan ibubapa agar menyantuni anak-anak dengan meluangkan masa bersama mereka dan beliau turut berkongsi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ‘Sebaik-baik kalian adalah baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku’.

Kisah cinta Saidatina Fatimah dan suaminya Saidina Ali turut dikongsi sebagai buah tangan yang dapat dibawa balik oleh ibubapa yang hadir iaitu bilamana Saidatina Fatimah mengadu letih kepada suaminya kerana menguruskan hal-hal rumahtangga sehingga dibawa kepada pengetahuan Rasulullah SAW.

“Kata Rasulullah kepada Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, ‘Sebelum tidur, bacalah Takbir 34 kali, dan Tasbih 33 kali, dan Tahmid 33 kali. Kata Saidina Ali, selepas daripada itu, aku tidak pernah dengar lagi Fatimah merungut letih atau penat dalam menguruskan rumahtangga’. Jadi, kita semua boleh amalkan ini,” Kata Ustaz Mohd Tarmizi.

Mesyuarat Agung kali ini turut diadakan perlantikan baru Ahli Jawatankuasa SRITI dengan menampilkan beberapa muka baru dalam barisan penggerak 2022.

Majlis diakhiri dengan jamuan hari raya yang menghidang pelbagai juadah serta anak-anak turut diraikan dengan pemberian duit raya oleh Pengerusi SRITI Al-Itqan, Ustaz Muhammad Alif Zainudin.

SRITI Al-Itqan merupakan sekolah baharu dalam Kawasan Paya Besar yang beroperasi pada tahun ketiga menerima pelajar dan masih dalam pembinaan bagunan fasa dua dan tiga serta membuka wakaf bagi mengumpul dana pembangunannya.

Para dermawan yang ingin menyumbang untuk pembangunan sekolah tersebut boleh menyalurkannya ke akaun 556226436209 (Maybank) atau 06010004296715 (Bank Muamalat) dan boleh berhubung ditalian 0139624898 atau 0136656442.