Home Berita PAS Terengganu

Pengundian awal babitkan 221 anggota polis di Setiu lancar

65
SHARE

SETIU – Proses pengundian awal membabitkan seramai 221 pegawai dan anggota polis beserta pasangan di Setiu berlangsung dengan lancar bermula jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Hussin berkata, kesemua anggota menjalankan kewajipan atas kesedaran masing-masing tanpa diugut atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk tidak diberikan sebarang amaran.

“Dengan kesedaran ini maka kesemua anggota polis di daerah ini menyatakan komitmen tinggi untuk mengundi kerana ia akan menentukan masa hadapan negara untuk dibangunkan, kalau tidak mengundi ia menjadi satu kerugian.

“Sebagai rakyat sewajarnya tidak mengambil sikap mengecualikan diri untuk menjalankan kewajipan ini tidak kira sesiapa sama ada tentera, polis, orang awam dan siapa sahaja perlu untuk mengundi,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pusat Pengundian Awal di Dewan Abdul Ghafar Rajab, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, hari ini.

Lokasi pengundian awal bagi daerah ini, turut dibuka di Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Tong serta Batu Rakit.

Ujarnya lagi, bagi membentuk sebuah negara yang bersih dan stabil pengundi perlu memilih calon yang berwibawa untuk membina kepentingan negara dan bukan untuk kepentingan parti tertentu.

Dalam pada itu menurutnya, anggota yang positif Covid-19 juga tidak diabaikan dan diberikan perhatian agar individu yang dijangkiti virus berkenaan masih mampu menjalankan hal sebagai rakyat Malaysia.

“Tetap akan mengundi mengikut sepertima prosedur yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada awal lagi kita telah memastikan anggota semua berada dalam keadaan sihat, hanya seorang sahaja anggota polis di daerah ini yang didapati positif Covid-19,”ujarnya lagi.