Home Berita PAS Terengganu

Pengukuhan institusi keluarga lahir pewaris negara

23
SHARE

KUALA TERENGGANU – Semua pihak diseru agar cakna tentang peranan dimainkan oleh institusi keluarga dalam melahirkan pewaris kepimpinan negara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Zuraida Md Noor berkata, institusi keluarga menjadi agenda penting dalam pembangunan sebuah negeri dan negara.

“Saya memuji dan sangat mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan pada hari ini untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa dalam menangani isu-isu kekeluargaan.

“Usaha-usaha ini tak boleh dipandang remeh dan saya yakin ini ia akan dapat membantu memperkukuhkan Institusi kekeluargaan di negeri kita dalam jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika merasmikan program Forum Keluarga Bahagia Negeri Sejahtera sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, pada semalam.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap masalah sosial yang semakin meningkat, seperti sumbang mahram, penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga, yang kebanyakannya melibatkan wanita sebagai mangsa.

Zuraida turut memuji inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang bekerjasama dengan NGO menubuhkan Pusat Raudhatul Jannah, juga dikenali sebagai Villa Mawaddah, di Kemaman.

Katanya, pusat itu berfungsi sebagai rumah kebajikan bagi anak-anak terbiar yang tidak mempunyai keluarga untuk menjaga mereka.

“Pusat ini memberi fokus utama membantu kepada pendidikan anak-anak, dengan harapan untuk memberikan mereka masa depan yang lebih cemerlang.

“Mak ayah ada tapi mak di penjara, tinggal dengan nenek tak sekolah, terabai. Jadi kita ambil dan letak di pusat bawah kerajaan negeri Terengganu, ini masalah yang ada,” katanya.

Selain itu, beliau berkongsi pengalaman melawat Rumah Ehsan Al Muktafibillah Shah di Dungun, yang menempatkan warga emas yang tiada waris untuk menjaga mereka.

“Ada anak-anak, tetapi mereka sakit terlantar dan tiada waris yang mahu menjaga. Ada yang telah tinggal di situ selama 10 hingga 20 tahun, dan hampir setiap minggu ada yang meninggal dunia di sana.

“Bila di tanya kenapa tinggal sini, maka dijawab apa pilihan yang saya ada, duduk seorang diri di rumah, sakit terlantar maka lebih baik habiskan sisa hidup di rumah ihsan,” katanya.

Justeru itu, beliau juga menyeru agar lebih banyak usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pendidikan moral dan sahsiah dalam kalangan anak-anak, terutama dalam menghadapi cabaran zaman moden yang semakin kompleks.

“Kita tak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan sendiri dan sebab itulah pentingnya pemantapan ilmu peningkatan ilmu yang kita buat seperti hari ini.

“Semoga (kita semua mendapat) kesedaran mengenai ilmu kekuatan ini yang perlu ada dalam diri kita supaya kita mampu menjadi ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab terhadap anak-anak kita,” tambah Zuraida.