Home Berita PAS Pahang

Pengijazahan Amalan Harian Ansorullah kepada pimpinan PASKIM

285
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 8 Ogos :: PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) telah mengadakan Majlis Pengijazahan Amalan Harian Ansorullah kepada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Ahli Jawatankuasa Dewan-Dewan, Pimpinan PAS Cawangan, Semua Nuqaba dan Peserta 12K Ansorullah.

Pengijazahan ini telah di sempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Pahang, Tuan Guru Ahmad Nafiri Md Toadzi, secara atas talian dimulai dengan zikir wirid selepas subuh dan maghrib (Zikir ahli Madinah), bacaan Mathurat Sughro, Selawat Tafrijiyyah dan bacaan doa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) YB Andansura Rabu dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa program sebegini sangat penting untuk mentarbiyahkan diri kita sendiri sebagai penggerak utama dalam perjuangan PAS Kawasan Indera Mahkota.

“Kita sebagai ahli jemaah Islam di kawasan ini, seharusnya mempunyai sentuhan kerohanian yang lebih tinggi dan yang lebih baik gerakan dakwahnya daripada ahli-ahli kita yang lain.

“Kita semua dituntut untuk sentiasa berada dalam keadaan yang bersiap sedia dari segi kerohanian dan jasmaninya untuk bergerak kepada siasah yang memerlukan pengisian ruang yang kosong di dalam hati dan jiwa kita.

“Kita perlu perkuatkan lagi tarbiyah kita ini untuk membendung dan membentengi diri kita daripada hanyut dalam godaan, halangan, atau cabaran yang ada pada hari ini.

“Dengan adanya benteng ini dapat memberikan kita ruang untuk melihat secara keseluruhan dalam proses tarbiyah ini bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah, banyak kekurangannya, selalu lalai dan leka dengan pelbagai urusan.

“Maka dengan program tarbiyah ini akan memperhebatkan pertahanan diri kita, bukan sahaja berdepan dengan pendemik Covid 19, malahan berdepan dengan siasah politik yang tidak menentu juga pergolakan masyarakat yang berlaku pada hari ini.

“Kita lihat sebelum ini ramai juga di kalangan mereka yang menerima tarbiyah dari awal lagi tetapi tewas meninggalkan jemaah, mungkin kerana tiada kesinambungan tarbiyah kerohanian yang berterusan untuk membentengi diri mereka  melepasi halangan masa itu.” kata Andansura.

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang mengharapkan agar proses yang berterusan melalui MyMutabaah yang dilaksanakan dalam jemaah dapat memperbaiki amalan kita di samping menjalani  proses tarbiyah secara berterusan untuk membentengi diri dan memberi kekuatan berdepan dengan kemelut dan cabaran.

“Pendekatan MyMutabaah ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi ia lebih kepada koreksi diri sama ada ibadah yang digalakkan oleh Islam berjaya dilaksanakan di mana akhirnya ia akan menjadi kebiasaan serta menjadi amalan harian.” ujar Andansura lagi.

Sementara itu Pengarah Program, Mohamad Hab Salleh Mohd Jalil berkata “Program ini diadakan bagi memastikan setiap lafaz atau perkataan zikir adalah datang dari sumber yang sohih dan tidak ditokok tambah.

“Ia juga membimbing peserta untuk nengamalkan amalan zikir yang terdapat dalam MyMutabaah yang sampai kepada kita dengan cara rantaian ulamak yang tidak putus”, kata Mohamad Hab Salleh yang juga Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PASKIM.

Manakala Tuan Guru Ahmad Nafiri Md Toadzi dalam ucapan pengijazahannya mengharapkan agar peserta yang telah diijazahkan dapat istiqamah dan mendapat keberkatan Nabi SAW.