Home Berita PAS Terengganu

Pengerusi JPKK jual motor untuk bantu penduduk kampung terjejas Covid19

18
SHARE

KUALA NERUS, 30 Jun 2021 – Usaha murni seorang pemuda iaitu Mohd Rozi Sakiman, 38 tahun mendapat pujian warga netizen di laman Facebook Seberang Takir Comey kerana sanggup menjual motosikalnya demi membantu penduduk yang terjejas.

Hasil jualan motor Honda Wave 125 bernilai RM1900 itu, beliau telah menginfakkannya ke dalam tabung kebajikan JPKK Bukit Tok Beng dan PAS Cawangan Bukit Tok Beng seratus peratus untuk pembelian barangan bantuan.

Menurut Azli Ahmad, seorang follower page berkenaan turut memuji dan meluahkan pandangan agar sikap tersebut wajar dicontohi orang ramai.

“Syabas kerana sanggup berkorban demi menjaga anak buah yang kesusahan. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki,” komen beliau dalam kenyataan tersebut.

Mohd Rozi Sakiman yang juga merupakan Pengerusi JPKK Bukit Tok Beng berkatEea, beliau merasa teruja dan puas dapat menolong penduduk di kampungnya walaupun usahanya itu tidak sebanding dengan para dermawan yang lain.

“Niat di hati memang hendak membantu mereka yang benar-benar memerlukan kerana ada ramai penduduk terjejas pendapatan kerana tidak dapat bekerja.

“InsyaAllah dalam masa terdekat, bantuan berbentuk barangan keperluan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan, ” jelasnya.

Kerajaan Terengganu juga memberikan RM200,000 kepada setiap DUN menerusi program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 yang turut menjadi agenda kebajikan negeri tersebut.

“Jadi, apa yang saya buat ini adalah tambahan kepada program itu dan ini atas inisiatif sendiri bagi membantu rakyat.

“Insya Allah pihak kami akan terus menyokong kerajaan negeri dalam membantu rakyat,” tambah beliau.