Home Berita PAS Terengganu

Pengayuh Beca terharu terima sumbangan

121
SHARE

KUALA TERENGGANU- Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian seperti beras, telur, gula dan minyak masak nampak biasa sahaja, tetapi amat besar maknanya buat golongan yang memerlukan terutama ketika berdepan musim tengkujuh.

Perasaan sama turut diakui 35 pengayuh beca di Pasar Payang, mereka menzahirkan rasa terharu apabila ada pihak yang prihatin menghulurkan pelbagai jenis sumbangan termasuk wang tunai.

Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan KT CARE menghulurkan bantuan itu membabitkan jumlah keseluruhan RM10,000 semata-mata mahu meringgankan beban golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri,  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata usaha yang dilaksanakan Terengganu Inc dan KT CARE sewajarnya dijadikan contoh dan seeloknya lebih ramai lagi NGO, pihak korporat dan individu berkemampuan tampil membantu.

“Mereka tiada sumber pendapatan lain hanya meraih rezeki membawa pelanggan, menghantar barang dan membawa pelancong bersiar-siar.

“Pendapatan yang diperoleh hanya cukup-cukup makan, jadi eloklah kita sama-sama tampil membantu,” katanya.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, sumbangan yang dilaksanakan sejak 2019 itu adalah sebahagian daripada inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya dalam memastikan kumpulan sasaran mendapat bantuan dan perhatian.

“Sebelum ini, Terengganu Inc ada melancarkan ‘Terengganu Inc Food Bank’ di beberapa stesen minyak terpilih  dengan peruntukan RM 100,000 yang membekalkan bekalan makanan asas sehingga hujung tahun ini.

“Lain-lain inisiatif termasuk sumbangan kewangan kepada kumpulan sasar,  mereka yang ditimpa bencana, membaiki rumah uzur dan membaik pulih surau,” katanya.