Home Artikel PAS Perlis

Penekanan 5M Lahirkan Generasi Soleh

494
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

GOMBAK : Penekanan terhadap penguasaan 5M dalam kalangan murid, menjadikan PASTI sebuah institusi yang unik yang terus menjadi pilihan masyarakat di negara ini, demikian kata Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim.

Menurutnya, berbeza dengan kurikulum kebanyakan institusi pendidikan awal kanak-kanak di negara ini, kejayaan murid PASTI bukan sahaja dilihat dari aspek kemampuan membaca, menulis dan mengira semata-mata, tetapi juga diukur pada kejayaan mereka dalam aspek menghafal dan mengamalkan ilmu yang diperolehi.

Jelas beliau, penekanan terhadap aspek berkenaan (5M) adalah bagi melahirkan murid-murid soleh yang cemerlang dalam segenap aspek, bukan tertumpu kepada aspek intelek semata-mata.

“PASTI barangkali berbeza kurikulum dengan prasekolah yang lain, anak-anak murid PASTI diberikan pendedahan yang jitu dalam setiap lapangan baik kurikulum mahupun kokurikulum.

“PASTI menekankan 5M menjadi teras iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan kerana semua elemen itu adalah merupakan sendi dan tunjang dalam memperdayakan sistem pembelajaran,” katanya ketika berucap pada Hari Anugerah Kualiti PASTI Malaysia 2019 yang berlangsung di Hotel Mercure, Selayang, dekat sini hari ini.

 

Meskipun demikian kata beliau, tugas berkenaan (melahirkan murid-murid yang cemerlang) tidak sewajarnya dibebankan di atas bahu para pendidik semata-mata, bahkan menuntut komitmen yang tinggi dalam kalangan ibu bapa.

Ini kerana tambah beliau, pemantauan terhadap perkembangan mereka (anak-anak) perlu berjalan pada setiap masa, baik di PASTI mahupun di rumah untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

“Satu aspek yang tidak boleh ditinggalkan adalah sokongan padu daripada ibubapa dalam memantau perkembangan anak-anak yang pulang ke rumah setelah menimba ilmu di PASTI.

“Besar harapan PASTI agar kombinasi antara Pemuda, Pengurusan PASTI, guru guru, ibubapa dan murid dapat diterjemahkan dengan sebaik mungkin bagi memastikan anak-anak PASTI terus menempa kejayaan samada kejayaan di dunia mahupun di akhirat,” ujarnya.