Home Berita PAS Perak

Penduduk Tempatan, Pengusaha Durian Duri Hitam

693
SHARE
PENDUDUK TEMPATAN, PENGUSAHA DURIAN DURI HITAM
SELAMA, 15 Julai 2020 – Penduduk tempatan di Selama akan turut terlibat dalam usaha menjadikan kawasan tersebut sebagai Hab Durian Duri Hitam sekiranya cadangan itu diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Mohd Akmal Kamarudin berkata, Kerajaan Negeri bersama agensi terlibat masih merangka dan mengkaji kebolehupayaan bagi merealisasikan cadangan itu yang akan merancakkan sektor pertanian di daerah tersebut.
“Kita akan galakkan penduduk di daerah ini untuk mengusahakan kebun Durian Duri Hitam, yang kita lihat harganya sekarang agak tinggi dan akan memberi pulangan lumayan kepada pekebun di sini” jelasnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama menegaskan, hab durian tersebut akan memesatkan agro pelancongan di sana seiring peningkatan penjualan hasil pertanian.
“Sekiranya orang ramai sanggup untuk ke Raub, Pahang untuk menikmati Durian Musang King dan sebagainya, kali ini kita akan menarik mereka untuk menikmati Durian Duri Hitam pula di sini” tambahnya.
Sementara itu, Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Selama, Juaini Shaharain berkata, pihak FAMA sedang mengkaji strategi pemasaran Durian Musang King di Raub, Pahang untuk mengkomersialkan durian itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Fama sedang giat mengkaji stratergi pemasaran Durian di luar negara terutama di China untuk kita perkenalkan durian baharu, Durian Duri Hitam. Kita lihat penerimaan Durian Musang King amat menggalakkan” tambahnya.
Terdahulu pada 16 Jun, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan, YB Dato’ Abdul Yunus Jamahri mencadangkan supaya daerah Batu Kurau, Selama dinaiktaraf sebagai daerah ‘Hab Durian Duri Hitam’ semasa lawatan beliau ke daerah tersebut.
Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]