Oleh : Laila Ismail
25 Oktober 2019
SANDAKAN : Penduduk Kampung Sundang dan Kampung Bongaya Baru dalam Parlimen Batu Sapi mendesak kerajaan negeri agar menyediakan bekalan elektrik terus daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bukannya syarikat swasta.
Perkara ini amat mendesak ekoran caj elektrik tidak masuk akal terpaksa ditanggung mereka yang dibekalkan oleh syarikat swasta C3 Power dan kini disambung pula oleh syarikat swasta lain Village Support Service Sdn Bhd (VSSSB).
Ia ditegaskan oleh Pengerusi Badan Bertindak Isu Elektrik Kampung Sundang dan Kampung Bongaya Baru, Shamsul Kelana Samlee dalam satu kenyataan media hari ini usai pihak mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan, dekat sini.
Pihaknya juga mendesak agar Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal memberi perhatian serius agar kemelut lebih 20 tahun ini dapat diselesaikan segera.
Kata Shamsul, tuntutan ini dibuat atas kesedaran penduduk yang rasa ditindas, ditipu, dianiaya dan ‘terjual’ dengan manifesto yang dibawa oleh wakil rakyat kerajaan sekarang pada PRU lepas iaitu janji menaiktaraf perkampungan dan menyelesaikan isu bekalan elektrik tersebut.
“Ia sungguh mendukacitakan penduduk kampung kerana sering berdepan dengan bekalan elektrik terputus, tidak mencukupi dan adakalanya terlalu lemah untuk menghidupkan sebiji lampu mentol,” jelasnya.
Tambahnya, isu ini berada di kemuncak pada 2016 hingga 2018 apabila bekalan elektrik sering dicatu setiap hari sehingga kampung terbabit direkodkan pernah terputus bekalan elektrik selama 14 hari dan mendapat liputan agensi berita nasional.
“Apabila bekalan elektrik diuruskan oleh VSSSB bukannya SESB, ia bermaksud penderitaan penduduk kampung sejak era C3 Power tidak terhenti sebaliknya berterusan,” ujar Shamsul lagi.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengerusi Gerakan Anak Muda Batu Sapi, Al-Hazlan Al-Sarip, Mantan Ketua Kampung Bongaya Baru, Kamlun Hassan, penduduk Kampung Sundang dan Kampung Bongaya Baru disamping Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu serta Mantan Calon Bebas PRK Sandakan, Sulaiman Putie.