Home Berita PAS Sabah

Pendidikan berteraskan Islam bentuk keperibadian pelajar

84
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
7 Ogos 2023

LAHAD DATU : Memberikan pendidikan di peringkat rendah berteraskan kefahaman Islam merupakan kaedah terbaik dalam membentuk keperibadian yang mulia kanak-kanak.

Menurut Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Rosli Hassan.
usaha tersebut giat dilaksanakan di peringkat Jabatan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Negeri Sabah melalui pelbagai program seperti Mahrajan Amal Islami SRITI (MAIS) kali ke-3 yang telah diadakan kelmarin di daerah Dewan Plasma MPOB, Lahad Datu.

“Dewan Pemuda PAS Sabah akan sentiasa memberikan komitmen yang terbaik terhadap pelaksanaan pendidikan kepada institusi pendidikan PAS seperti PASTI, SRITI dan SMITI.

“Ini adalah satu inisiatif dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran Islam,” katanya ketika merasmikan majlis.

Sebanyak 8 kontinjen SRITI dari seluruh negeri Sabah menyertai program tersebut, iaitu SRITI An-Nawawi Papar, SRITI Al Falah Kunak, SRITI Al Ayubi Beaufort, SRITI Imam As-Syafie Putatan, SRITI Al Makwa Kota Belud, SRITI Imam Al-Bukhari Sandakan, SRITI Kota Kinabatangan dan SRITI Tahfiz Lahad Datu.

Pelbagai acara yang dipertandingkan dalam MAIS, antaranya hafazan, tilawah, khutbah, azan, bercerita dan berpidato. Johan akan mewakili SRITI Sabah ke peringkat kebangsaan.

Johan keseluruhan dimenangi oleh SRITI Tahfiz Lahad Datu dengan mencatat sebanyak 96 mata sekaligus berjaya mengekalkan kejuaraan.

Manakala Naib Johan dinobatkan kepada SRITI Imam As-Syafie Putatan yang telah berjaya memungut 93 mata manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh SRITI An-Nawawi Papar dengan jumlah sebanyak 91 mata.

Turut hadir, Timbalan Pengarah 3 Jabatan SRITI Negeri Sabah, Hasruddin Syamsuddin, Kaunselor Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis dan Pengerusi ALP SRITI Tahfiz Lahad Datu, Ustaz Zaki Ibrahim.