Home Berita PAS Sabah

Pendidikan awal berteraskan Islam bentuk akhlak murid

36
SHARE
Gambar kenangan murid PASTI bersama para guru (barisan belakang) dan duduk dari kiri, Pengerusi JIBG PASTI Ar Raudhah Mazalan Elis, Ketua Pemuda PAS Beaufort Asrul Samat, YDP PAS Beaufort Syahrazan Noh dan Pengerusi PASTI Beaufort Abdul Rasidi.

 

Oleh : Wani Zakaria
8 Februari 2024

BEAUFORT: PASTI Kawasan Beaufort telah mengadakan Majlis Anugerah Prestasi (MAP) bagi sesi akademik 2023 di Dewan PR1MA Residensi Woodford, Beaufort baru-baru ini.

Seramai 87 orang murid telah menerima sijil graduasi tamat persekolahan dalam majlis tersebut yang terdiri daripada murid 6 tahun di PASTI Ar-Raudhah, PASTI As-Sakinah, PASTI Al-Muallim, PASTI Baitul Hikmah 1 dan PASTI Baitul Hikmah 2.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan beberapa persembahan menarik daripada murid, antaranya bacaan hafazan surah Al-Mulk, deklamasi puisi, nasyid, qasidah serta persembahan pentomen, sekaligus memperlihatkan kemenjadian murid dari pelbagai aspek.

Selain itu, turut disampaikan Anugerah Mumtaz, iaitu anugerah kecemerlangan akademik untuk 10 orang dari kalangan murid 5 dan 6 tahun.

Persembahan nasyid Doa Khatam Al-Quran dari murid PASTI yang berumur 6 tahun.

Sementara itu, adik Luthfi Qadri Hasanuddin, daripada PASTI Al-Muallim telah menerima Anugerah Khas Tokoh Murid, kerana telah mewakili Sabah dalam pertandingan hafazan Alam Ria PASTI peringkat kebangsaan di Perlis.

Dalam ucapan perasmian, Yang Dipertua PAS Beaufort, Syahrazan Mohd Noh menyatakan bahawa, sokongan dan komitmen yang tinggi daripada pimpinan PAS kawasan, pihak pengurusan PASTI, guru-guru dan ibu bapa, adalah salah satu kekuatan PASTI Beaufort sejak mula beroperasi pada tahun 2008.

Jelasnya, memilih untuk mendidik anak di institusi pendidikan awal berteraskan Islam adalah satu keputusan yang tepat.

Ini kerana, melihat kepada situasi generasi pada hari ini yang agak membimbangkan dengan pelbagai masalah sosial, maka melalui pendidikan diharapkan mampu membentuk akhlak mulia serta menjadi benteng kepada perkara negatif seumpama itu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang ibu bapa itu turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Beaufort, Asrul Samat, Pengerusi PASTI kawasan, Abdul Rasidi Mohamed serta Pengerusi Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) dari kesemua PASTI kawasan.