Home Kenyataan Media PAS Johor

Penderhaka yang melakonkan watak taat

270
SHARE

PENDERHAKA YANG MELAKONKAN WATAK TAAT

Persidangan Khas Parlimen yang telah berlangsung selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai 2021, menyaksikan perjalanannya dipersia-siakan begitu sahaja hingga menyimpang jauh daripada apa yang diharapkan.

Tujuan persidangan yang diperuntukan untuk membincangkan isu pandemik Covid-19, menyelesaikan masalah rakyat dan negara telah bertukar menjadi gelanggang pertengkaran yang menjengkelkan untuk ditonton.

Ahli-ahli Parlimen daripada Blok Pembangkang majoritinya adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH), mempamerkan wajah dan perangai jelek mereka menjadikan sidang Parlimen tidak ubah seperti pasar lelong, hingar bingar dan sangat memalukan.

Mereka berhujah dengan penuh emosi menuduh Kerajaan sebagai penderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu, kononnya merekalah pejuang yang mahu mempertahankan Institusi Istana.

Sedangkan merekalah yang paling kerap menghina Raja-Raja Melayu dan kalangan mereka yang juga telah meminda Perlembagaan Negara yang menghadkan imuniti Raja-Raja.

Mari bersama kita imbas kembali kronologi sepanjang sejarah politik kotor mereka, antara perbuatan yang telah mereka lakukan terhadap Instituti Raja-Raja Melayu selama ini :

1. Pada tahun 2013, dalam satu rakaman video, penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin menyatakan Institusi DiRaja akan terkubur menjelang 2030 dan bahawa Malaysia akan menjadi negara republik.

Antara kandungan video terbabit adalah perancangan agar rakyat mula menyamakan panggilan ‘Sultan’ dengan ‘setan’.

2. 02 September 2014, kemelut jawatan Menteri Besar Selangor terus berlanjutan berikutan titah Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar sekurang-kurangnya dua nama dipersembahkan untuk jawatan itu tidak diendahkan oleh PKR & DAP.

3. 08 September 2014, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita terhadap DAP dan PKR yang ingkar dan gagal mengemukakan lebih dua nama calon Menteri Besar seperti yang dititahkan.

Setiausaha sulit Baginda menyifatkan tindakan dua parti itu sebagai biadab kepada Institusi Raja dan satu perbuatan derhaka terhadap titah Baginda Tuanku.

4. 10 September 2014, Wan Ji Wan Hussin dilaporkan ditahan di bawah Akta Hasutan kerana menghina Institusi Raja dan penahanan beliau dikutuk Pemuda PKR.

5. 28 September 2017, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melantik Wan Ji Wan Hussin sebagai pegawai penerangan dengan tanggungjawab menjelaskan dasar Islam negeri itu.

Wan Ji sebelum ini dikenali dengan video yang memaparkannya menjelaskan rancangan menghapuskan sistem beraja di Malaysia.

6. 06 Mac 2018, Lim Kit Siang memperlekeh dan menghina titah Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Beliau menyifatkan titah Baginda sebagai ucapan dasar Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

7. 09 Julai 2019, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihukum penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor.

8. 19 Mei 2020, pemimpin PKR dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar disifatkan menghina Institusi DiRaja apabila melabelkan Sidang Parlimen sebagai ‘sampah’.

9. 04 Ogos 2020, pemimpin DAP dan ADUN Tras, Chow Yu Hui mencabar ketetapan Kerajaan Pahang mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan, yang mana ketetapan tersebut dibuat selari dengan titah perintah YDP Agong, Sultan Abdullah yang mahu memartabatkan penggunaan tulisan jawi dalam negeri ini.

10. 21 Oktober 2020, pemimpin DAP dan ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu menulis hantaran facebook berbaur hasutan agar rakyat menentang sistem beraja seperti yang sedang berlaku di Thailand ketika itu.

11. 24 April 2021, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Charles Santiago menulis hantaran facebook bersolidariti dengan artis, Fahmi Reza yang ditahan kerana menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah.

12. Pada Mei 2021, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan dan penghinaan kepada YDP Agong dalam satu video secara langsung.

13. 25 Mei 2021, pemimpin PKR dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menulis hantaran Twitter berbunyi, ‘Qu’ils mangent de la brioche‘ (bermaksud : biarkan mereka makan kek) untuk mempersenda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah, yang mama ayat tersebut sinonim dengan Revolusi Perancis yang menggulingkan sistem beraja Perancis pada 1789.

Inilah kumpulan ‘Si Penderhaka yang sedang melakonkan watak taat’ kepada YDP Agong dan Raja-Raja Melayu yang mesti kita sedar akan permainan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dalam PRU15 nanti dengan menuduh kerajaan hari ini sebagai penderhaka.

Kita sedar bahawa Kerajaan yang ada ini mempunyai kelemahan dalam beberapa perkara, namun kita juga kena sedar bahawa Kerajaan hari ini juga telah mengambil satu tanggungjawab yang besar dan sangat berat kerana negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan ujian yang dahsyat iaitu Covid-19.

Kami sekali lagi mengulangi seruan YDP Agong, agar semua berhenti seketika berpolitik dan tumpukan sepenuh perhatian untuk menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan negara.

Terima kasih.

#menangbersama

#daulattuanku

RUSMAN KEMIN

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor

31 Julai 2021