KUALA NERUS – Pendekatan mesra syariah yang diterapkan T-Fight Festival menerima sambutan positif para pengamal sukan berkenaan.
Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu, Master Najmi Abdullah berkata, pendekatan tersebut turut mendapat perhatian Naib Presiden Global Association Of International Sports (GAISF) Stephan Fox yang hadir dalam festival di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
“Pendekatan mesra syariah ini semua ikut, bahkan Stephan menyambut baik dan kata ia membuka mata kepada negara lain kerana banyak petarung-petarung beragama islam seperti Iran, Iraq yang bermain muay thai.
“Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim juga hadir menyaksikan acara utama yang berlangsung malam ini (semalam),” katanya.
Menurutnya, penganjuran kejohanan muay thai dengan konsep baharu itu ternyata mampu menarik lebih banyak peminat ke acara tersebut.
“T-Fight ini baru kali pertama dijenamakan dan merupakn pertama kali kejohanan muay thai dalam bentuk festival yang mengandungi aktiviti e-sukan, awang nelang (bina badan), kejohanan remaja, kick boxing dan larian.
“Sambutan sangat menggalakkan dan sepanjang dua hari kita dapat menarik sambutan sekitar 15 ke 20 ribu pengunjung,” katanya.
Najmi menambah, penilaian semula akan diadakan bersama kerajaan negeri selepas ini untuk memastikan T-Fight Festival dapat terus dijayakan pada masa akan datang.
” Kita orang sukan dan kita mahu tarik ramai orang datang menyertai sukan-sukan ini. Jadi, kita akan buat pos mortem dengan negeri sebelum memutuskan untuk buat lagi tahun depan.
“Kalau yang ini okey (baik) kita akan buat tahun depan, lebih berkembang dengan sambutan lebih menggalakkan,” katanya.