Home Berita PAS Terengganu

Bukan tidak dipertandingkan, tetapi tiada pencalonan

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan  jawatan ‘Top 5’ atau lima kedudukan tertinggi dalam kepimpinan PAS boleh dipertandingkan sekiranya ada pencalonan dikemukakan.

Naib Presiden PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan tiada pertandingan melibatkan lima jawatan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Katanya, PAS telah memberikan tempoh kepada ahlinya untuk mengemukakan pencalonan seperti biasa.

“Kita menerima pencalonan daripada peringkat kawasan-kawasan dan dewan-dewan, jadi ada atau tidak ada pencalonan itu kita tidak boleh arahkan mereka untuk berbuat demikian, kerana terpulang 100 peratus kepada mereka.

“Dari segi syarat-syarat dia berapa bilangan dan sebagainya (termasuk) bilangan minimum untuk melayakkan untuk bertanding. Jadi tak cukup bilangan minimum tak boleh bertandinglah.

“Saya tak pasti dari segi jumlah berapa sebab kita calon-calon tidak dimaklumkan berapa jumlah itu kerana ia (termaktub) di dalam jawatankuasa pemilihan,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini,

Dalam pada itu, beliau menolak pandangan sesetengah pihak bahawa perkara tersebut akan memberi kesan tidak baik terhadap masa depan PAS.

“Kita tak dapat menutup suara-suara yang ingin memberikan kritikan dan sebagainya kerana itu terpulang kepada mereka. Malaysia negara demokrasi siapa saja boleh menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

“Apa yang penting ialah Pas makin mengukuh dan terus berkhidmat dengan terbaik kepada rakyat, negeri dan negara,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang dijadual berlangsung bulan depan.

Lima jawatan itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden yang menyaksikan semua penyandang menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa parti mengeluarkan arahan untuk tidak mempertandingkan lima jawatan tertinggi parti.

Beliau berkata, PAS tidak pernah menghalang calon dari mana-mana kawasan untuk memegang jawatan di dalam parti.