Home Berita PAS Selangor

Pendekatan Damai Pendekatan PAS – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

635
SHARE

Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah

Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur | 20 September 2020

Minggu lepas ramai yang sibuk melayan PRN Sabah. Namun Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang Presiden PAS sibuk melayan tamu.

Antara tamu yang hadir ke Pejabat Agung PAS adalah Persatuan Hindu Sangam Malaysia dan wartawan-wartawan daripada akhbar Makkal Osai. Mereka datang sebagai lawatan Muhibbah, Tuan Guru layan dengan penuh mesra.

Sudah pasti mereka mahu tahu tentang pendirian PAS mengenai kepelbagaian agama dan bangsa di dalam negara. Dan jawaban Tuan Guru adalah sama, sama seperti ucapan Tuan Guru secara terbuka mahupun secara tertutup – PAS menerima kepelbagaian yang ada. Itu taqdir Allah untuk negara kita Malaysia yang rencam dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Apa pula pandangan PAS tentang bahasa dan sekolah berasaskan bahasa sesuatu kaum dalam negara ini?

Jawaban Tuan Guru, bahasa ibunda sesuatu kaum adalah hak milik kaum tersebut. Secara nature-nya tentu bangsa itu sayang kepada bahasanya sendiri. Itulah lumrah yang Allah ciptakan. Tiada salahnya begitu. Jadi orang India, Melayu, Cina dan lain-lain….sila teruskan mencintai bahasa ibunda kalian. Tetapi syaratnya ia tidak membawa perpecahan atau kezaliman. Serta mesti bergerak selari dengan perlembagaan negara.

Mengenai sistem pendidikan yang berasaskan bahasa dan kaum di negara ini, juga tiada masalah. Tetapi syaratnya ia tidak membawa perpecahan atau kezaliman. Serta mesti bergerak selari dengan perlembagaan negara.

Seperti biasa Tuan Guru akan membacakan ayat Allah (al-Hujurat : 13);

“Wahai orang ramai sekelian, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling kenal mengenal sesama kamu. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor