Home Berita PAS Pahang

Penceramah muslimat perlu jadi pendamai pemikiran umat – Dr Najihatussalehah

7
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

SHAH ALAM, 3 Ogo – Penceramah muslimat PAS diseru menjadi pendamai pemikiran umat dalam menyampaikan dakwah secara berstrategi dan berkesan.

“Penceramah muslimat bukan sahaja petah berbicara, tetapi mampu menyampai dakwah dengan lebih segar, dinamik dan profesional,” ujar Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), YB Dr Najihatussalehah Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel TOT Penceramah Berwibawa anjuran Lajnah Perhubungan Media Baharu (LPMB) DMPM berlangsung di sini semalam.

“Penyampaian kita mesti ada perancangan, pertama, kita mesti tahu strategi bagaimana nak sampaikan mesej, kedua, kita perlukan kebijaksanaan dan hikmah, sebagaimana panduan al-Quran, ketiga, kita mesti kuasai ilmu, bukan sekadar tahu, tetapi perlu faham dan mahir dan keempat, kita kena ada kemahiran komunikasi yang berkesan,” katanya yang juga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bota.

Menurut beliau lagi, penguasaan ilmu bukan sesuatu yang datang secara tiba-tiba, sebaliknya dibina melalui proses tarbiah yang konsisten seperti usrah, liqa’ fikri, tamrin yang disusun di setiap peringkat kawasan.

“Semua kita tahu macam mana nak berkomunikasi dengan anak, suami, jiran, yang semua itu perlukan teknik yang sesuai, dakwah pun begitu, kalau tidak bijak menyusun kata, mesej kita tidak sampai,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa penceramah muslimat adalah ‘duta dan agen’ bukan sahaja kepada DMPM, tetapi juga kepada parti secara keseluruhannya.

Justru itu katanya, setiap kata-kata dan isi ucapan perlu membawa prinsip perjuangan yang benar.

“Kita kena bawa prinsip perjuangan PAS dalam setiap ucapan dan tutur kata kita. Kita nak masyarakat lihat bahawa PAS ialah parti yang sesuai untuk semua, parti yang mampu membantu menyelesaikan masalah negara,” tambahnya lagi.

Seramai lebih 50 orang penceramah muslimat PAS kawasan dari seluruh negara hadir bertujuan memperkasa kemahiran pengucapan awam dan komunikasi dakwah yang lebih segar, dinamik dan profesional.

Sepanjang bengkel, peserta telah menyertai pelbagai sesi seperti Slot Teknik Ceramah Berpengaruh oleh Norazlin Md Samsudin, Slot Teknik Mengulas Isu oleh Fairuz Hafizih Othman, serta sesi khas bertajuk Yang Boleh dan Tidak Boleh dalam Ceramah oleh ADUN Pangkalan Kundor, YB Mardhiyyah Johari.

Bengkel turut memberi ruang kepada peserta untuk melibatkan diri secara aktif dalam slot praktikal, memperhalusi gaya penyampaian, susunan hujah, serta pemilihan media komunikasi yang sesuai dalam era digital masa kini.