Home Artikel PAS Pahang

Pencemaran buat Lata Meraung kini sepi pengunjung

168 views
SHARE

Pusat perkelahan dan rekreasi terkenal Lata Meraung di Jerantut dahulunya menjadi sebutan ramai kerana keindahan panorama sekitarnya, kejernihan airnya serta keheningan suasananya yang begitu mengasyikkan.

Terjunan airnya  yang menerjah batu batan serta bunyi cengkerik dan unggas liar sebagai melodi alam pula umpama menggamit dan menyambut para pengunjung ke destinasi kurang lebih 16 kilometer dari bandar Jerantut itu untuk berpesta dan mandi manda. Ia menjadi tumpuan pengunjung sejak ia dibuka pada tahun 1991.

Airnya yang dingin pula membuatkan seolah olah mereka yang bertandang dari seluruh negara tidak puas-puas  bertumpu dan bercanda terutama pada setiap hari cuti persekolahan.

Namun itu semua hanya tinggal kenangan. Sejak beberapa bulan yang lalu Lata Meraung sudah dilanda pencemaran yang tenat. Kunjungan Adun Damak Ustaz Zuridan Daud bersama seketeriat dan Lajnah Alam Sekitar Jerantut mendapati segala-galanya berubah. Air  yang dahulunya jernih kini bertukar laksana teh susu. Kolam air kebiasaan tempat bermandi-manda yang dahulu kedalamannya separas dada kini menjadi cetek dan  dipenuhi dengan lumpur pekat yang turun bersama air terjun.

Air terjun Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol, Jerantut terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut yang turut menempatkan Taman Eko Rimba Lata Meraung. Dahulunya jernih kini menjadi keruh.

Bukan sahaja keruh, berbau hanyir bahkan paras air yang dahulunya diakui dalam oleh penduduk tempatan, kini semakin cetek sekadar paras pinggang kerana dipenuhi selut.

Punca air di Lata Meraung datangnya dari Sungai Ulu Cheka namun penduduk tidak pasti dari mana bermulanya kekeruhan tersebut tetapi penduduk tidak menolak kemungkinan ada kegiatan pembalakan berlaku di sekitar kawasan air terjun itu.

Serentak dengan itu, Adun Damak berharap jabatan yang terbabit seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pelancongan Negeri, Jabatan Perhutanan dan lain-lain boleh mengambil tindakan yang sewajarnya untuk pemuliharan semula Lata Meraung yang kami sayangi.

Jika kemusnahan kecil ini dibiarkan berterusan boleh mengaibkan negara ini sendiri di mata dunia terutama jika pelancong luar bertandang ke hutan yang turut dihuni kira-kira 202 keluarga dengan 805 penduduk Orang Asli tinggal di kampung berhampiran itu.

Sepatah kata seorang pengunjung, ….”jangan biarkan air terjun ini meraung kesepian…”