Home Berita PAS Wilayah

Pencarian Dapur Gas Aunty : Bantuan Merentas Lokaliti, Bangsa, Agama dan Pengundi, Hanya Untuk Rakyat

861
SHARE

Sekitar pukul 1.50 pm hari Jumaat 25 Mei 2018 yang lalu, aku menerima mesej WA dari Siti bertanyakan tentang pengundi Bukit Bintang dalam parlimen mana.

Aku menyoal lebih lanjut kenapa.

“Saya terjumpa sorang aunty berbangsa India ni, dia tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Umur 54 tahun, tidak bekerja dan menjaga 3 orang cucu serta seorang anak OKU akibat kemalangan. Aunty ini dah pergi ke pejabat YB Balakong untuk dapatkan bantuan tapi ‘ditolak’ ke pejabat YB Kajang dan akhir sekali ke pejabat MP Parlimen Titiwangsa,” tulis Siti dalam WA.

“Menangis – menangis aunty ni kak sebab dia tak dapat bantuan dari tiga pejabat YB yang dia dah pergi sebab dia mengundi di Bukit Bintang. Dia dah tak tahu nak minta bantuan dari mana. Dia paling nak dapur gas untuk masak. Macam mana Kak She?” sambung Siti lagi.

Bijaknya Siti ini, dia mengambil alamat, no telefon dan gambar IC aunty ini. Aku pula terus bertanya pada kawan – kawanku yang lain, di mana aunty ini boleh dapatkan bantuan.

Alhamdulillah seorang dari mereka, Shyu menjawab, “Ini Bandar Tun Razak kak. Tak apa nanti kami ziarah.”

Aku berasa lega kerana ada yang menyambut pencarian aunty ini.

Pada pagi Isnin ini, 28 Mei 2018, aku menerima sebuah gambar melalui WA.

“Kak She, ini aunty yang akak cakap tu. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Bandar Tun Razak sudah ziarah aunty tu. Kami tak telefon dan tak janji pun dengan dia sebab nak confirm betul atau tidak,” tulis Shyu dalam caption sebuah gambar seorang aunty berbangsa India sedang menerima sumbangan dari seorang muslimat PAS bersama sebuah dapur gas baru.

Alhamdulillah! Aku sungguh terharu mendapat tahu berita ini dan yang paling aku tersentuh adalah kepantasan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Bandar Tun Razak dalam menyampaikan bantuan kepada aunty ini.

“Aunty nangis kak. Dia tak sangka berhari – hari dia ke sana – sini minta bantuan tapi tak dapat, akhirnya bantuan yang sampai pada dia,” tulis Shyu lagi.

Allahuakbar! Siapa – siapa pun boleh menangis dalam situasi seperti itu.

“Lepas tu aunty tanya, dia Indian, boleh ke masuk PAS. Acik Milah cakap boleh, sebab kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Aunty tu kata nanti dia akan hantar borang keahlian,” cerita Shyu lagi.

Ya Allah, semasa menerima berita ini aku rasa seperti dunia terhenti seketika untuk membenarkan aku mengenang semula plot cerita ini. Bermula dengan plot pencarian dapur gas seorang aunty sehinggalah dapur itu sampai di depan matanya sekarang. Memang seperti sebuah cerita.

Aku juga terus teringat akan pesan Ustaz Shafie Ngah sambil menangis kepada Ustaz Nushi Mahfoz dalam sebuah rakaman di FB, “Kerja sebagai wakil rakyat ini payah tapi yang memudahkan kerja kita adalah doa orang – orang susah yang kita bantu ini. Cari mereka, cari mereka sampai dapat. Kerana mereka benar – benar memerlukan bantuan.”

Allahuakbar. Menangis aku semasa menulis ini.

Apapun, semoga lebih banyak lagi usaha mengesan rakyat susah dapat dibuat kerana memang ramai yang memerlukan bantuan kita. Marilah semua bersama – sama kami meringankan beban dan memberikan bantuan tanpa mengira lokaliti, bangsa, agama dan pengundi. Biarlah semuanya hanya untuk rakyat.

Penulis : Hasiba Kamaruddin (Kak She)