Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pencapaian Skuad Prihatin dan MusMedik Melaka Membanggakan

139 views
SHARE

Pencapaian Skuad Prihatin dan MusMedik Melaka Membanggakan

31 Julai 2018, Melaka : Skuad Prihatin Negeri Melaka merupakan antara pasukan yang komited dan bergerak aktif dalam menyampaikan amanah dan tanggungjawab kebajikan kepada masyarakat sekeliling yang memerlukan. Skuad MusMedik Melaka juga seringkali kelihatan akan bersama seiring dalam apa jua gerak kerja Skuad Prihatin.

Tanggal 28 Julai 2018 baru-baru ini, Skuad Prihatin dan Skuad Musmedik Melaka telah dilancarkan dengan rasminya bersempena dengan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) kali yang ke-49.

Menariknya dalam pelancaran tersebut, seramai 6 orang ahli pasukan Skuad Prihatin, terdiri dari Ketua-ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Jasin, Alor Gajah, Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Kota Melaka telah menerima vest Skuad Prihatin dan Manual Skuad Prihatin, manakala 6 orang ahli pasukan Skuad MusMedik DMPK Bukit Katil, Kota Melaka, Tangga Batu, Jasin, Alor Gajah dan Masjid Tanah juga menerima vest Skuad MusMedik dan Diari As Syifa.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Dr. ‘Uyun Abd Malek selaku Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM). Dr. ‘Uyun dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran tersebut, menyatakan rasa teruja beliau kerana MusMedik LKK DMPM secara keseluruhannya telah menunjukkan perkembangan yang amat membanggakan iaitu penubuhan MusMedik di sebanyak 8 buah negeri semenjak Resolusi Bengkel Skuad Prihatin pada 28 Oktober 2017 yang lalu.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Skuad Prihatin dan Skuad MusMedik Melaka di atas pencapaian yang membanggakan, di mana Skuad MusMedik Melaka telah menjayakan 3 program utama MusMedik iaitu “Kami Prihatin Kesihatan Anda (KPKA)”, Ziarah Medik Prihatin dan Pimpinan Prihatin Sihat. Ketiga-tiga program ini juga merupakan risalah dari MusMedik Melaka yang telah dimurnikan dan dikembangkan ke seluruh negara.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran tersebut ialah Dr. Hani Ali, Setiausaha DMPM merangkap Perasmi Muktamar DMPNM kali ke-49, Al-Fadhil Ustaz Kamarudin Sedik,Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Bonda Hjh. Kintan bt Man selaku Ketua DMPNM, Dr. Reen Bt Mohd. Amin selaku Pengerusi MusMedik Negeri Melaka merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) LKK DMPM dan Hjh Anida Hj Haron selaku Pengerusi LKK DMPNM.