Home Rencana PAS Perak

PENA EDITOR PERAK | Hijrah : Pengorbanan dan kematian

88
SHARE

Oleh : Zulfahmi Ramli

AWAL MUHARRAM 1443H di sambut dengan penuh kesyukuran walaupun masih dalam suasana berhadapan pandemik COVID-19 ketika ini. Sudah pasti dalam tempoh ini pelbagai pihak sedang berusaha sebaik mungkin mengikut posisi masing-masing dan ternyata pengorbanan mereka sangat wajar dihargai.

Bersabarlah dalam menghadapi cabaran hidup ketika ini, juga berkemungkinan menerima berita kematian insan tersayang khususnya. Besar pahalanya diberikan Allah SWT kepada orang yang bersabar.

Marilah kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT sebagaimana diajar oleh Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.” – Riwayat Muslim (918)

Sudah tentu berita kematian tersebut akan mendatangkan kesan tertentu kepada diri kita sama ada ahli keluarga, sahabat handai mahu pun mereka yang dikenali masyarakat.

Maka zahirkanlah penghargaan buat mereka tertutamanya di atas segala pengorbanan dan kebaikan dengan sekadarnya serta dalam masa yang sama menjadikannya sebagai dorongan buat kita menjadi insan yang lebih baik.

Dalam pada itu, perlu menjadi peringatan kita bersama bahawa, Islam sama sekali tidak suka berlebih-lebihan dalam menghargai seseorang, betapapun tingginya kedudukan orang tersebut, baik mereka yang masih hidup ataupun yang sudah mati.

Malah dianjurkan kepada kita untuk berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik termasuklah juga menjauhi sikap yang suka membuat perbandingan tertentu dengan orang lain.

Jauhilah situasi yang boleh menimbulkan persepsi yang pelbagai yang boleh mendatangkan bahaya fitnah kemudiannya. Sepatutnya memadai untuk kita Istirja’ (mengucapkan Innalillhi Wainna Ilahi Raajiun) serta berdoa memohon keampunan buat si mati dan digolongkan bersama orang-orang yang beriman dan bertaqwa.

Sesungguhnya apabila berlakunya suatu kematian, kita yang masih hidup sedang diuji Allah SWT. Apa yang pasti juga, setiap daripada kita semakin menghampiri saat kematian. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud;

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”.

Justeru, bersempena sambutan Maal Hijrah 1443H, marilah sama-sama kita berazam untuk berusaha meningkatkan amal kebaikan dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

Semoga kita mendapat pengajaran hijrah untuk diamalkan dalam kehidupan kita yang mendatang dengan memastikan hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini, InsyaAllah.

ZULFAHMI RAMLI
Ketua Editor
PAS Negeri Perak