Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Penulis perlu gigit kebenaran dengan gigi geraham!

87
SHARE

SEBAGAI aktivis PAS yang berpegang kepada prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), didakap bersama dengan prinsip Islam, maka kita harus berperang dengan bersenjatakan kebenaran, fakta dan perekayasaan, bukan dengan cerita rekaan berbalut emosi.

Banyak kita lihat di media-media sosial laskar-laskar siber parti-parti politik yang menggunakan bahan-bahan rekaan yang tidak kena dengan fakta untuk membangkitkan kemarahan rakyat kepada parti yang menjadi musuh politik mereka.

Saya ingat lagi, semasa PAS dan Pakatan Harapan (PH) sama-sama di bangku pembangkang, pada masa itu kita berhadapan dengan isu kenaikan harga petrol.

Suatu ketika saya mendapat satu bahan penulisan yang menunjukkan pengiraan bahawa harga minyak petrol sepatutnya rendah berdasarkan harga setong minyak mentah. Pengiraan itu sekadar membahagikan harga setong minyak mentah kepada liter lalu mereka mendapat harga seliter minyak mentah.

Kemudian mereka membandingkan dengan harga jualan petrol seliter di stesen minyak dengan harga seliter minyak mentah. Dijelaskan di dalam penulisan itu betapa stesen minyak untung besar dan sepatutnya harga minyak lebih murah.

Lalu saya menegur penyebar bahan itu bahawa itu cara pengiraan yang silap. Harga minyak mentah tidak sama dengan harga minyak siap diproses. Proses mendapatkan petrol yang boleh digunakan oleh kenderaan juga melibatkan kos.

Hakikatnya margin keuntungan yang diterima oleh stesen minyak sangat rendah. Saya tahu fakta ini kerana ramai juga kawan-kawan saya yang memiliki stesen minyak. Jadi saya tahu fakta yang sebenar.

Selain itu dua orang abang ipar saya pengurus dan jurutera di Petronas Carigali. Abang ipar saya ini juga pimpinan PAS. Tak mungkin dia memberikan fakta palsu semata-mata untuk menyokong kerajaan pada masa itu.

Namun bukanlah bermakna pada masa itu saya mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga petrol. Kita mahu harga petrol yang rendah melalui kaedah-kaedah yang betul.

Yang kita tidak mahu ialah jika harga petrol di pasaran dunia rendah tetapi kerajaan tidak menurunkan harga runcit petrol, atau pun kerajaan menaikan harga runcit petrol lebih tinggi daripada kenaikan global. Selain itu kita mahu ada subsidi sekurang-kurangnya untuk rakyat marhaen. Itu ruang lingkup isunya.

Tetapi dengan mencipta fakta rekaan seperti bahan sebaran tadi bukan jalan wajar. Memang membuat cerita rekaan seperti itu di saat rakyat sedang marah maka ramai yang mudah percaya. Malah siapa yang tidak percaya pula yang akan kena marah. Saya salah seorang yang pernah dimarahi kerana tidak bersetuju dengan bahan itu. Itu pada masa kebanyakan orang tidak tahu fakta.

Bertahun-tahun selepas itu apabila kebanyakan orang ramai sudah tahu fakta maka pada masa itu masing-masing akan sedar bahawa mereka pernah membodohkan dan dibodohkan dengan fakta yang silap. Masing-masing akan tertawa sendiri mengingatkan kebodohan masing-masing.

Sebelum saya terlibat sepenuh masa sebagai editor dan wartawan, saya adalah ahli akademik. Bidang saya pengurusan perniagaan dan ekonomi. Prinsip saya dalam menulis ialah setiap tulisan saya harus berdasarkan fakta, membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah.

Ada teori-teori tentang ekonomi yang saya lihat dipercayai secara salah dan dipengaruhi politik oleh rakyat perlu diperbetulkan berdasarkan ilmu sebenar yang diterima pakai oleh pakar-pakar dalam bidang ini.

Bagi saya dalam penulisan, kita harus berdiri dengan kebenaran fakta dan bukan dengan cerita rekaan untuk membangkitkan emosi. Untuk menentang sesuatu mesti dengan fakta yang benar.

Jika anda seorang guru sains, tiba-tiba anda sampai di satu kampung yang berpegang bahawa burung adalah sejenis serangga. Tanggungjawab anda adalah untuk menerangkan fakta sebenar bahawa burung bukan sejenis serangga. Bukannya dengan berdiam diri dan akur dengan mereka.

Sebagai penulis kepada PAS, kita harus menjadi ejen memandaikan rakyat agar rakyat akhirnya dapat menilai dengan ilmu. Bukan dengan menurut kehendak dan kefahaman ramai yang berkiblatkan emosi. Ini prinsip yang saya gigit dengan gigi geraham!

Itu bukan pula bermaksud kita melakukan sesuatu yang berlawanan dengan perjuangan parti kita. Maksud saya, untuk mempertahankan perjuangan kita, harus dengan fakta.

Sesuatu kelompok politik itu boleh berjaya membawa satu naratif palsu. Mungkin ia akan bertahan bertahun-tahun atau berpuluh tahun. Namun akan sampai satu masa ia terlondeh juga kesilapannya.

Inilah yang telah berlaku pada PH. Mujur PH menang pada PRU14. Jika tidak mungkin sampai sekarang kita masih percaya bahawa kerajaan sepatutnya mampu menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma selain harga petrol boleh turun pada RM1.50 walau apa pun harga minyak global. Jadikan apa yang berlaku pada PH sebagai sempadan.

Lebih baik kita nampak pelik mempertahankan kebenaran sekarang di saat majoriti orang mengatakan ia salah, daripada di kemudian hari generasi akan datang mengesahkan bahawa apa yang kita pernah percaya suatu masa dahulu adalah bodoh, salah, tahyul dan mahyul.

Tempoh jangkamasa orang percaya sesuatu fakta palsu mungkin lima ke sepuluh tahun. Selepas fakta sebenar terbongkar orang yang mendukung fakta yang betul tadi pula akan mendapat penghormatan dari masa itu sehingga kiamat.

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.