Home Melaka

Pena editor Melaka | Jangan berlakon banteras rasuah

257
SHARE

RASUAH dan penyelewengan di Malaysia ini walau pun cuba ditutup-tutup disorok-sorok, namun ia umpama bangkai gajah yang baunya membusuk menyelinap ke seluruh sudut!

Nak tahu teruk atau tidak rasuah ini tanya orang ramai yang biasa berurusan dengan orang-orang politik atau pegawai-pegawai kerajaan yang berkuasa meluluskan sesuatu atau penguatkuasa-penguatkuasa undang-undang. Dari situ anda boleh tahu teruk atau tidak gejala ini berlaku.

Walau pun dahulu kerajaan menubuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR), selepas itu dinaik taraf menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun rasuah tetap juga berleluasa.

Kenapa nampak sukar sangat untuk dihapuskan rasuah dan penyelewengan ini? Ini persoalan yang menarik untuk diungkai dan dicerakinkan dalam mencari jawapan mengapa gejala rasuah ini masih membarah.

Sebenarnya rasuah dan penyelewengan ini sukar dibanteras kerana dalam ramai-ramai yang mengecam dan mengutuk rasuah dan penyelewengan ini banyak yang sekadar berlakon dan sekadar untuk memburuk-burukkan orang lain untuk kepentingan diri dan politik mereka semata-mata.

Ada sekumpulan orang politik yang menjatuhkan satu kerajaan atas tuduhan rasuah dan penyelewengan. Bila mereka jadi kerajaan mereka rasuah dan menyeleweng juga. Sama saja. Inilah yang menjadi punca rasuah gagal dibanteras.

Itu bagi mereka yang menentang rasuah yang dilakukan oleh parti-parti yang bertentangan dengan mereka.

Ada juga yang berperang sesama sendiri di dalam parti yang sama kerana membongkar rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin parti sendiri. Ingatkan sebab mereka benci rasuah, rupanya sebab mereka tidak diajak bersama atau kerana tiada bahagian mereka.

Mereka menjadi hero, mengamuk dan bising bila orang lain buat rasuah bukan kerana mereka benci rasuah, tapi kerana mereka tidak dapat bahagian daripada rasuah itu.

Rasuah ini juga sudah menjadi darah daging golongan atau kumpulan tertentu sehingga bagaimana sekali pun seseorang pemimpin mereka rasuah malah telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah yang sah namun pemimpin ini tetap disanjung dan dipertahankan. Goblok!

Tidak lama dahulu ada seorang sahabat penulis menunjukkan pada penulis tangkap layar satu grup Whatsapps tentang salah seorang ahli grup itu yang melahirkan rasa kecewa kerana khutbah Jumaat pada minggu itu membincangkan tentang rasuah.

Ada golongan yang sudah sinonim dengan rasuah sehingga apabila disebutkan rasuah sahaja sudah membuatkan mereka terasa dan tersindir. Pada hal tiada siapa yang menujukan perkara itu kepada mereka secara spesifik. Ibarat kata pepatah ‘enggang lalu ranting patah’.

Inilah punca sebenar mengapa rasuah belum dapat dibendung kerana ramai orang yang menentang rasuah tidak ikhlas dalam menentang rasuah.

Kita perlu menentang rasuah dan penyelewengan kerana ianya sesuatu yang salah dan menjijikan. Bukan sekadar menjadikan tuduhan rasuah dan penyelewengan itu sebagai alat untuk menjatuhkan orang lain. Dan bukan kerana kita tidak mendapat bahagian daripada rasuah dan penyelewengan itu.

Jangan kita nampak jijik pada rasuah jika ia dilakukan oleh orang lain tetapi bila diri sendiri buat tak apa pula.

Jika semua orang menentang rasuah dan penyelewengan kerana jijik dengan perbuatan rasuah dan penyelewengan itu barulah ia benar-benar dapat dibanteras.

Jijoe dalam filem ‘Rock Oo’ pun sudah beritahu kita semua bahawa rasuah adalah salah satu daripada perkara yang boleh meruntuhkan negara. Nak tunggu negara hancur dan tergadai baru nak sedar ke?

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM

Kredit foto : Google