Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Gelembung pelancongan, berhati-hati, tapi jangan terlalu berhati-hati.

179
SHARE

PADA 23 September lepas, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di dalam ucapan penggulungan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, negeri ini menangguhkan pembukaan sektor pelancongan kepada pelancong dari negeri lain sehinggalah vaksinasi negara mencapai 90 peratus.

Semalam Tourism Pahang juga memaklumkan penangguhan program gelembung pelancongan domestik Genting Highland dan Pulau Tioman yang sepatutnya dijadualkan pada 1 Oktober seperti Melaka.

Sebelum ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan, selepas Pulau Langkawi, Kedah, tiga lagi destinasi akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik iaitu Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka.

Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka (Kredit foto : Google)

Memang menjadi kebimbangan semua pihak sekiranya pembukaan secara rintis beberapa lokasi pelancongan ini akan meningkatkan semula bilangan kes baharu Covid-19.

Sebenarnya ada banyak pertimbangan yang perlu dilakukan dalam tindakan ini. Kita tidak boleh hanya melihat kepada bilangan kes baharu atau wujudnya kes-kes baharu sebagai petunjuk keadaan masih buruk.

Ada perbezaan antara kewujudan kes-kes baharu selepas majoriti rakyat telah menerima vaksin lengkap berbanding semasa tiada vaksin. Hakikat bahawa Covid-19 tidak terhapus sepenuhnya sekiranya ia telah mencapai tahap vaksinasi mencapai 100 peratus sekali pun.

Malah mereka yang sudah divaksin penuh juga boleh dijangkiti dengan virus ini namun ia tidak setinggi risiko sebelum vaksinasi dan gejalanya pula tidak seteruk mereka yang tidak divaksin. Iaitu pada tahap satu dan dua. Ini yang sedang kita alami sekarang.

Sekiranya berlaku peningkatan dalam kes Covid-19 tetapi kebanyakan yang dijangkiti sudah divaksin, itu kurang membimbangkan jika mereka sekadar berada pada tahap satu dan dua. Ini yang dikatakan Covid-19 sebagai endemik.

Kita boleh menjadikan bilangan kes kematian baharu, kes ICU dan kes bantuan pernafasan sebagai indikator Covid-19 masih di tahap bahaya dan tidak hanya melihat pada bilangan kes baharu semata-mata.

Namun ini tidak pula bermakna kita tidak harus risau jika kes baharu terus meningkat walau pun pada tahap satu dan dua. Isu varian-varian baharu Covid-19 juga memang perlu untuk kita bimbangkan, namun ia sentiasa dalam kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebarang maklumat tentang varian baharu ini sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. SOP yang ketat tetap akan dilakukan terhadap kemasukan pelancong dari luar.

Jadi bagi saya dengan panduan KKM yang berautoriti dan berkepakaran dalam soal ini, Kerajaan Negeri Melaka boleh membuat keputusan yang wajar berkaitan perkara ini.

Sebagai negeri yang sangat bergantung kepada pelancongan, rakyat Melaka sangat menunggu-nunggu pembukaan semula sektor pelancongan di negeri ini.

Hotel-hotel, homestay-homestay, resort-resort, muzium-muzium, taman-taman pelancongan, penarik-penarik beca, kedai-kedai makan, kedai-kedai cenderahati sedang menunggu dengan penuh sabar pembukaan sektor pelancongan ini.

Pembukaan boleh dibuat secara berperingkat-peringkat dan hanya untuk pelancong dalam negeri Melaka dahulu dan kita lihat kesan berkaitan jangkitan Covid-19 ini.

Kita memang perlu berhati-hati kerana Covid-19 ini soal nyawa. Namun mengambil sikap terlalu berhati-hati juga mungkin sesuatu yang tidak begitu baik dalam membuat keputusan dan memberi kesan kepada ekonomi rakyat yang sudah terjejas teruk dengan penutupan ekonomi selama ini.

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.