Home Melaka

Pena editor Melaka | Ahmad Zaki Mahbar – kematian yang dicemburui

209
SHARE

“Mungkin sepanjang hidupnya dia tak dikenali tetapi hari ini, ramai yang mendoakannya.”

Itu kata-kata Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad dalam satu hantaran di Facebook beliau berhubung pemergian ‘Wira Tentera Semut Merah, Almarhum Ahmad Zaki Mahbar’.

Almarhum Ahmad Zaki Mahbar yang merupakan Komander Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Mersing, Johor meninggal dunia ketika sedang bertugas membantu mangsa banjir di Selangor pada Jumaat 24 Disember.

Seperti kata Ustaz Idris tadi, mungkin sebelum ini tidak ramai yang kenal dia, namun kerana pemergiannya dengan cara yang hebat ini maka terus dia dikenali satu Malaysia.

Begitulah yang sebaiknya. Kalau semasa hidup kita sudah asyik dengan sanjungan, bimbang nanti boleh timbul riak. Orang-orang hebat seperti ini mungkin dilindungi Allah SWT semasa hidupnya daripada sifat-sifat riak dan sebagainya, kemudian dia mendapat kemasyhurannya selepas dia tiada lagi di dunia ini.

Setiap pejuang Islam sudah pasti mengimpikan untuk diambil nyawanya ketika sedang berjuang dan dikurniakan syahid dalam menegakkan agama Allah SWT.

Pemergiannya ke alam baqa’ ketika sedang membantu mangsa banjir ditambah pula pada hari Jumaat yang berkah menjadikan pemergiannya dicemburui oleh semua orang-orang yang beriman.

Takziah daripada Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka buat ahli keluarga Almarhum dan seluruh warga JAM dan PAS Johor.

Semoga kita semua dikurniakan dengan kematian yang mulia seperti ini. Amin…

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM