Home Berita PAS Sabah

Pemuda PAS Sabah gesa polis siasat kebocoran surat istana

78
SHARE

Oleh: Aizal Samsaruddin
3 Ogos 2021

SANDAKAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) telah membuat laporan polis susulan penyebaran surat yang didakwa sebagai surat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada YAB Perdana Menteri 29 Julai lalu di Balai Polis Sandakan, semalam.

Ketua Penerangannya, Mustaman Mustain berkata, surat tersebut jika benar wujud tentunya merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh Perdana Menteri.

“Tindakan ini juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan krisis diantara Istana dan pihak Eksekutif negara,” tambahnya.

“Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi dengan pertembungan,” katanya lagi.

Tambahnya, DPPNS menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat ini yang dilihat cuba menggugat kestabilan dan keharmonian negara mahupun unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran tersebut.

“Dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan,” ujarnya.