Home Kenyataan Media PAS Perlis

Pemuda PAS Perlis tolak budaya hiburan melampau

84
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERLIS
PEMUDA PAS PERLIS TOLAK BUDAYA HIBURAN MELAMPAU

Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPNPs) menyambut baik kenyataan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden mengenai kekecewaan terhadap konsert yang diadakan di Bukit Jalil pada 18 ogos 2022 yang lalu.

Penganjuran konsert artis-artis luar negara apatah lagi membawa imej pendukung LGBT mampu memberikan kesan buruk kepada masyarakat khususnya anak muda.

Rasa kecewa ini bukan hanya dirasai oleh pemuda PAS sahaja malah turut dirasai oleh semua pihak yang sayangkan Islam sebagai agama rasmi negara.  Lebih menyedihkan, negara kita baru sahaja keluar dari pasca pandemik dan bakal menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

Islam tidak menghalang hiburan. Namun, konsep hiburan perlu dikawal supaya tidak melanggar hukum syarak yang digariskan di dalam islam.  Implikasi hiburan melampau akan melahirkan generasi yang leka dengan hiburan dan jauh daripada Allah.

Sejak dari dahulu PAS komited menentang hedonisme, yang merupakan satu budaya yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Jika hedonisme ini tidak dikawal dengan tegas maka generasi akan datang akan semakin rosak dan jati diri mereka juga akan terhakis.

DPPNPs berharap supaya Garis Panduan Hiburan dalam Islam dapat disebarkan dan dijadikan rujukan oleh pihak penganjur.

DPPNPs juga menyeru agar budaya menjadikan konsert yang bercirikan hedonisme segera dihentikan di bumi Malaysia yang kita cintai.

Yang benar,

USTAZ ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis
22 Ogos 2022 | 24 Muharram 1444H