Pemuda PAS Perak Tampil Untuk Tawaran Anak Muda
Perubahan landskap pentadbiran Negeri Perak perlu direalisasikan demi melihat masa depan anak muda di negeri ini mampu diterjemahkan melalui Pilihanraya Umum 12 akan datang.
Justeru Pemuda PAS Perak tampil untuk memberikan tawaran khas untuk anak muda .Tiada janji kosong yang diungkapkan, bukan retorik yang dijanjikan, Pemuda PAS Perak meletakkan azam seandainya PAS memerintah di Perak, nasib dan hak anak muda Perak akan kami perjuangkan. DPPN Perak meletakkan asas pendidikan, ekonomi dan sara hidup, perumahan juga sukan sebagai tawaran buat anak muda.
Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin dalam temubual khas berkaitan persediaan PAS Perak menghadapi PRU 14 .
Beberapa tawaran yang direncanakan Pemuda PAS Perak sekaligus bakal menjadi manifesto dalam PRU akan datang.
Tawaran tersebut seperi berikut :
1.Perancangan Pendidikan
2.Ekonomi dan Sara hidup
3.Keperluan Perumahan
4.Pembangunan Sukan Anak Muda
1.Perancangan Pendidikan
Ilmu merupakan asas yang sangat penting bagi kehidupan. Melalui pelaburan ilmu, memberi pulangan yang besar kepada sesebuah kerajaan. Keputusan peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM secara tidak langsung menjadi ukuran prestari pendidikan negeri, maka perkapita sekolah khususnya sekolah agama bawah kerajaan negeri harus ditingkatkan.
Melalui peruntukan yang lebih tinggi, dapat memastikan infrastruktur dan kelengkapan sekolah dapat ditambahbaik sekaligus memberi keselesaan untuk menuntut ilmu.
Sehubungan dengan itu juga, DPPN Perak melihat keperluan menaiktaraf Sekolah Menengah Agama Negeri (SARJANA, SERATA, IZZUDIN). Malahan sekolah ini juga akan terus dipertahankan dibawah kerajaan negeri Perak dan tidak diletakkan bersama SABK. Selain itu, DPPN Perak memandang serius kondisi Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.
Dalam perkembangan pendidikan pelajar SMTDR yang saban tahun semakin mendapat keputusan cemerlang, status menumpang bagi 4 buah SMTDR perlu diselesaikan segera.
Kita meletakkan matlamat untuk memastikan 4 buah sekolah ini dibangunkan dan tidak lagi menumpang dengan mana-mana sekolah. Turut diambil perhatian berkenaan dengan Sekolah Agama Rakyat di Perak yang perlu dibantu bagi membangunkan infrastruktur yang lebih baik.
Pemuda PAS Perak juga melihat keperluaan menaiktaraf kedudukan Maahad Tahfiz Perak yang kini menumpang di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Maahad Tahfiz yang melahirkan huffaz di negeri Perak ini perlu diiktiraf sebagai sebuah kolej universiti yang bernaung terus dibawah kelolaan Negeri Perak.
Penubuhannya sudah lama namun masih menumpang di INTIM dan perlu mengambil peperiksaan di Darul Quran. Seandainya hasrat murni ingin menaiktaraf Maahad Tahfiz Perak kepada Kolej Tahfiz Perak dengan kompleks pendidikan tersendiri dapat dilaksanakan, nescaya semakin ramai para huffaz al-quran yang mengamalkan kandungannya dapat dilahirkan.
Dalam masa yang sama, DPPN Perak mengikuti rapat perkembangan pembangunan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Seharusnya USAS menjadi tapak melahirkan cendiakawan dan ilmuwan anak Perak yang boleh kembali berbakti kepada pembangunan negeri Perak. Maka kebajikan pelajar melalui yuran pembelajaran juga penginapan, serta keselesaan pembelajaran melalui infrastruktur yang baik harus diberi penekanan.
Malahan istilah Islam yang ditarik keluar dari nama asalnya KUISAS seharusnya tidak menjadi penghalang suburnya nilai Islam di kampus dengan akhlaq dan pengamalan ajaran Islam.
Pembudayaan ilmu dengan sinergi tenaga pengajar dari dalam negara dan jemputan khas pensyarah pelawat luar negara sebulan sekali dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mahasiswa.
2.Ekonomi dan Sara hidup
Mendepani peningkatan kos sara hidup, PAS telah mengambil langkah dengan mengeluarkan suatu kaedah penyelesaian melalui buku “Dokumen Hijau” dalam menyelesaikan permasalahan ekonomi negara. Dokumen Hijau menjadi panduan ketika pentadbiran negeri Perak oleh PAS kelak.
Dalam masa yang sama, DPPN Perak juga melihat beberapa perkara penting yang perlu diperjuangkan. Antara tawaran yang ingin disediakan adalah pemerkasaan zakat dan wakaf negeri Perak.
Bagaimana kerajaan negeri dan Pusat berkempen untuk membayar cukai pintu dan GST, malahan sampai tahap mencari bersungguh-sungguh jika tidak dibayar. Itulah yang seharusnya dilaksanakan bagi menarik pembayar zakat melaksanakan ibadah mereka. Malahan kempen wakaf terutamanya wakaf korprat harus digerakkan.
Dalam masa yang sama, perlaksanaan kaedah pemberian juga harus lebih mesra dan lebih mudah. Seandainya ini dapat dilaksanakan dan hasil negeri semakin bertambah, cukai GST dapat dihapuskan dari membebankan rakyat.
Selain itu, dalam membantu meringankan beban golongan muda yang ingin berkahwin, kita akan mengenakan kadar sewa yang jauh lebih rendah dari kebiasaan bagi dewan-dewan dibawah kelolaan majlis daerah.
Malahan program perkahwinan perdana bagi setiap daerah turut akan dilaksanakan. Melalui pendekatan ini dapat mengurangkan kos belanja kahwin dan mengurangkan kadar kemaksiatan dan zina di Perak.
Mendepani isu pengangguran dan migrasi penduduk negeri Perak ke luar negeri, Pemuda PAS Perak merasakan keperluan tawaran dan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Malahan usaha menarik pelabur asing membuka kilang dan syarikat harus dipergiatkan.
Tambahan juga, pemberian pinjaman tanpa faedah buat belia yang ingin membuka perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) dan bantuan juga latihan menjadi usahawan tani dalam memanfaatkan tanah pertanian di Perak dapat diadakan.
Pancing yang diberi bukan sekadar BR1M yang menjadi umpan. Kebajikan guru KAFA dan guru subjek Azhari juga menjadi perhatian Pemuda PAS Perak dalam tawaran yang ingin disediakan. Elaun semasa yang diterima masih dilihat tidak setimpal dengan pengorbanan dan jasa yang diberikan oleh guru-guru .
Sehubungan dengan itu, penstrukturan elaun dengan penambahan elaun dan penyelarasan kemasukan elaun yang tetap seperti kemasukan gaji kakitangan kerajaan akan dilaksanakan. Dalam masa yang sama, elaun bagi guru dakwah dan takmir juga perlu dipertimbangkan untuk dinaikkan.
Malahan bilangannya juga perlu ditambah terutamanya dalam usaha dakwah kepada masyarakat orang asal yang memerlukan bimbingan para asatizah.
Dalam masa yang sama, kerajaan Negeri Perak perlu lebih memperkasakan “research & development” dalam membangunkan ekonomi negeri.
Pemuda PAS Perak menjanjikan kumpulan teknokrat yang “competent” untuk melakukan pembangunan dan penyelidikan bagi membawa Perak kearah lebih maju dan berdaya saing.
3.Keperluan Perumahan
Anak muda kini berdepan dengan hambatan kewangan yang keterlaluan. Ini termasuk dengan situasi tanah yang semakin tinggi harganya, menyebabkan anak muda kini tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Ditambah dengan permasalahan kegagalan membuat pinjaman perumahan lebih meranapkan impian anak muda memiliki rumah dibawah usia 40 tahun.
Justeru itu, Pemuda PAS Perak bertekad memastikan rumah mampu milik yang pertama dapat dimiliki oleh semua anak muda di Perak.
Perlaksanaan pembinaan perumahan dibawah seliaan kerajaan negeri perlu dipantau agar pembinaannya siap tepat pada masanya. Dalam masa yang sama, konsep sewa beli bagi rumah mampu milik boleh dilaksanakan.
Melalui konsep ini, belia di Perak InshaAllah dapat memiliki rumah sendiri dengan kadar tanggungan yang tidak terlalu membebankan dalam tempoh yang tidak capai usia warga emas mereka.
4.Pembangunan Sukan Anak Muda
Sukan merupakan platform dekat kepada anak muda. Perkembangan sukan di Perak kini semakin baik.
Kejayaan Khairul Idham Pawi dalam sukan permotoran dan terbaru kemenangan pasukan Perak dalam “Sepak Takraw League” sangat membanggakan.
Namun begitu ianya tidak selari dengan sukan-sukan yang lain di Perak terutamanya sukan bola sepak yang tidak pernah mencapai kejuaraan Piala Malaysia hampir 17 tahun.
Perbalahan dalaman menimbulkan kegusaran dan marah penyokong. Dengan kebangkitan The Boss Gaurus, pemecatan Karl Heinz Weigang dilihat sangat tidak wajar dan hanya memuaskan hati segelintir pihak berkepentingan tanpa memikir kesan kepada pemain dan semangat para penyokong.
Pemuda PAS Perak memandang serius pada perkembangan bola sepak dan bidang sukan lain di Perak.
Suntikan modal, pemilihan jurulatih juga pemain, pemulihan stadium, gelangang-gelangang, kolam renang dan velodrum, serta kelengkapan infrastruktur menjadi keutamaan Pemuda PAS Perak dalam mentadbir kelak.
Malahan pembangunan sukan dan program cungkil bakat di sekolah dan universiti perlu digiatkan lagi.
{jathumbnail off}