Home Berita PAS Perak

Pemuda PAS Perak Optimis TBG Menang

815
SHARE

Pemuda PAS Perak Optimis TBG Menang

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) dengan ini menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan Perak The Bos Gaurus (TBG) yang akan bertemu JDT di separuh akhir pertama pada 15 Oktober ini di Stadium Perak, Ipoh.

2. DPPN Perak tetap optimis dan percaya dengan kemampuan pemain untuk berhadapan dengan JDT walaupun ramai penganalisis meramalkan JDT adalah pasukan pilihan ke final Piala Malaysia. Ramalan ini sedikitpun tidak melemahkan semangat berdasarkan prestasi terkini para pemain TBG dibawah kendalian jurulatih Mehmet Durokavic dan ditambah dengan aura pengurus legenda bolasepak Perak iaitu Ahmad Shahrul Azhar meyakinkan kami bahawa Perak mampu membuat kejutan seterusnya mara dengan penuh bergaya ke final Piala Malaysia.

3. Kepada para pemain TBG, kami mengharapkan agar pemain tidak leka dan memberi sepenuh tumpuan sepanjang perlawanan kerana sedikit kelekaan membawa padah kepada pasukan. Kami juga mengharapkan agar pemain berjaya menamatkan penantian 17 tahun merangkul Piala Malaysia yang mana kali terakhir perak menjuarainya adalah pada tahun 2000. Perak telah berjaya menjuarai Piala Malaysia sebanyak 7 kali dan naib juara 11 kali.

4. Kepada penyokong setia TBG, kami menyeru agar sokongan padu dapat diberikan kepada pasukan. Selain itu kami meminta para penyokong kedua-dua pasukan mesti mengelak daripada membuat sebarang provokasi di antara satu sama lain. Jadikan pertemuan ini sebagai wadah kita untuk bersatu dan menunjukkan disiplin serta akhlaq yang mulia. Sentiasa menjaga kebersihan dan sebaiknya sebelum pulang kita sama-sama mengutip sampah yang ada di sekeliling kita.

5. Para penyokong kedua-dua pasukan juga diingatkan agar terlebih dahulu mengambil wudhu sebelum melangkah masuk ke dalam stadium. Pastikan apabila masuknya waktu solat, kita telah menunaikan solat secara berjemaah. Kami telah mengambil inisiatif dengan menghantar anggota Pemuda PAS di beberapa lokasi dalam dan luar stadium bagi membantu dan memudahkan untuk kita sama-sama solat berjamaah.

6. ‎DPPN Perak mendoakan kemenangan dapat diraih pada pertemuan ini sehingga menobatkan Perak TBG sebagai Juara Piala Malaysia 2017 InshaAllah.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
“Sedia Memerintah”

Akmal Hj Kamarudin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

19 Muharram 1439H / 10 Oktober 2017