Home Berita PAS Perak

Pemuda PAS Parit santuni 200 asnaf muda

61
SHARE

Oleh Abu Muhammad

BOTA, 29 April : Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Parit dengan kerjasama para Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Bota dan Mukim Lambor telah selesai menyantuni para asnaf muda dan orang kelainan upaya (OKU) dalam dua mukim, hari ini.

Ketua Pemuda DPPK Parit, Hanif Musa yang mengetuai rombongan itu berkata lawatan dua mukim ini adalah susulan daripada program lawatan yang sama di mukim Belanja dan Layang-Layang.

Menurutnya, antara barangan yang telah disumbangkan ialah beras, barangan dapur, air minuman dan buah tamar.

“Kami sedar masih terlalu banyak kerja yang perlu diusahakan untuk sama-sama membantu meningkatkan taraf hidup rakyat setempat.

“Kondisi rumah, beban yang perlu ditanggung ketua keluarga, kebajikan anak-anak yang berstatus kelainan upaya menjadi perhatian kami untuk tindakan susulan selepas ini,” ujarnya usai lawatan tersebut.

Tambahnya lagi, DPPK Parit berharap agar bantuan yang dihulurkan dapat membantu sedikit sebanyak bagi menampung keperluan hidup para asnaf.

Antara JPKK yang turut serta adalah Tuan Haji Abdul Rani bin Abdul Majid (JPKK Kg Nasaruddin Rezab), Encik Nor Amir Shah (JPKK Kg Lambor Kanan), Encik Shamsuri bin Darus (JPKK Kg Talang), Encik Mohamad Fadzil bin Othman (JPKK Kg Tua, Lambor Kanan), Puan Zaharah binti Mohd Saman (JPKK Teluk Bakong Hulu), Encik Rahman bin Bali (JPKK Kg Teluk Bakong Hilir) Puan Asiah binti Ahmad Kardi (JPKK Kg Padang Marhom), Encik Solihuddin (JPKK Kg Kubang Chandung), Encik Zainuddin ( JPKK Kg Padang Changkat) dan Encik Ahmad Pudil Abas (JPKK Kg Padang Tenggala).

Turut serta, Encik Muhammad Eruan bin Muda (JPKK Kg Baru Lambor Kiri dan Kg Pulau), Encik Faiz Azfar bin Mohd Hanes (JPKK Kg Teluk Sena), Encik Mohamad Basri bin Abdul Malek (JPKK Kg Kuchai) dan Encik Abdul Samad bin Zaini (JPKK Kg Aji).