Home Berita PAS Pahang

Pemuda PAS Pahang buat apa yang boleh untuk zahirkan semangat patriotik

110
SHARE

Oleh: RAHMAH AHMAD

INDERA MAHKOTA, 3 Sept :: Dewan Pemuda PAS DUN Semambu memaknai Sambutan Hari Kebangsaan negara yang ke-64 tahun melalui edaran bendera kebangsaan bertempat di Masjid Cenderawasih, Kuantan.

Program ini dicetuskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dalam usaha untuk memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan biarpun dalam suasana pandemik.

Bagi Dewan Pemuda PAS, ini antara usaha yang mampu dibuat dalam keadaan semasa yang terbatas untuk menunjukkan sikap cakna dan semangat patriotik dalam mencintai tanah air.

“Kami ingin mengajak anak-anak muda supaya dapat bersama-sama merasai kecintaan kepada tanah air dengan berusaha mempertahankannya walau apa jua halangan yang mendatang,” kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota, Zulfadli Zakariah.

Program yang mensasarkan anak muda dan masyarakat sekitar ini dilaksanakan pada hari Jumaat dan dimulakan dengan bacaan khutbah tentang kemerdekaan yang disampaikan sendiri Zulfadli Zakariah yang juga imam masjid tersebut.

Dalam khutbahnya, beliau menerangkan bahawa kemerdekaan membawa maksud bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman, perhambaan dan kongkongan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Perpecahan dalam masyarakat Melayu merupakan suatu perkara yang tidak mendatangkan faedah.

“Masyarakat sesebuah kampung, daerah, negeri atau negara boleh jadi berpecah atau bermusuh akibat perbezaan fahaman politik dan Islam memerintahkan kita untuk sentiasa menjadi umat yang satu dibawah akidah dan syariah yang sama,” tegas beliau lagi.

Beliau seterusnya menyeru masyarakat agar dapat mengisi kemerdekaan ini dengan rasa tanggungjawab untuk kembali bersama memperkukuhkan perpaduan sesama kita, mengekalkan pemerintahan negara ini di bawah kuasa orang Melayu Islam dan memelihara hak keistimewaan bangsa Melayu tanpa menafikan kepentingan bangsa lain.

Program ini diakhiri dengan penyerahan bendera kebangsaan dan stiker Islam Memimpin kepada jemaah masjid selepas selesai menunaikan Solat Jumaat.