Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 12 Julai – Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mengadakan gotong-royong membaik pulih rumah mangsa ribut yang melanda pada 6 Julai yang lalu.
“Alhamdulillah, hari ini kami telah membaik pulih atap sebanyak 5 buah rumah dalam DUN Batu Buruk yang telah rosak akibat bencana ribut yang melanda baru-baru ini,” kata Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Batu Buruk, Ustaz Ahmad Firdaus Mohd ketika ditemu bual pemberita.
“Gotong-royong ini kami mulakan pada pukul 3 petang di Jalan Kenanga sebanyak dua buah rumah dan seterusnya di Kg. Gong Tok Nasek sebanyak tiga buah rumah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk di sini kerana sudi menerima kehadiran kami untuk mengadakan gotong-royong membaik pulih atap rumah mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, program gotong-royong ini juga turut menarik perhatian ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang hadir menyertai program tersebut.
“Alhamdulillah, nilai dan semangat kerjasama ini sangat penting untuk kita terapkan dalam menghadapi situasi musibah seperti ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penduduk setempat yang turut sama berganding bahu menghulurkan bantuan,” katanya dalam satu hantaran laman Facebooknya.
Menurut Ustaz Muhammad Khalil lagi, sebanyak 392 aduan kerosakan rumah dalam DUN Batu Buruk telah dilaporkan akibat bencana ribut tersebut dan kerja-kerja membaik pulih rumah telah dijalankan.