Home Berita PAS Pahang

Pemuda mahu Siti Kassim, David Orok disiasat

567
SHARE

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) pada Selasa telah menggesa pihak polis menyiasat peguam Siti Kassim dan seorang pemilik akaun facebook David Orok yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dalam status masing-masing sehingga boleh mencetuskan huru-hara.

Gesaan tersebut dibuat melalui satu laporan polis di IPD Kuantan diketuai 30 orang pimpinan pemuda diketuai ketuanya Ustaz Hazmi Dibok.

Dalam laporan polis tersebut Siti Kassim yang sebelum ini lantang menentang pindaan RUU 355, dalam tulisannya di facebook bertarikh 11 September telah menulis perkara yang boleh menyesatkan umat Islam dengan mengulas secara berniat jahat bahawa pengorbanan yang dibuat oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail iaitu mimpi Nabi Ibrahim bukannya dari Allah.

Wanita kontroversi itu malah dengan celuparnya mengaitkan ibadah korban sebagai satu jenayah pembunuhan.

“Manakala pada 7 September pula seorang pemilik facebook David Orok dengan biadabnya menuduh Nabi Ismail sebagai anak luar nikah.

“Tuduhan tersebut adalah dakyah yang jauh menyeleweng daripada fakta dan maksud sebenar.”

Oleh itu status tersebut boleh mengakibatkan rasa tidak selesa orang Islam sehingga boleh mengakibatkan ketidakharmonian antara kaum di negara ini.

Kenyataan yang sangat menguji kesabaran orang Islam itu sudah tentu boleh mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara agama di negara ini jika berterusan dibiarkan.

“Ini juga boleh ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan secara terang-terangan mencabar Yang Dipertuan Agong selaku penaung agama Islam di Malaysia.

“Ia juga bersifat ancaman dan gugatan kepada ketenteraman awam khususnya yang berlainan agama serta mengancam kedaulatan negara.”