Home Berita PAS Perlis

Iktibar Arakan: Umat Islam Wajib Peduli Hal Ehwal Politik

608
SHARE

KANGAR: Sejarah menunjukkan bahawa Kesultanan Kerajaan Islam Arakan telah wujud sejak kurun ke-14 (1345M) dan diperintah sehingga kurun ke-18 (1784M).

Pada ketika itu, Islam diterima dengan meluas di Arakan sejak dari kurun ke-9 (877M) lagi iaitu sewaktu pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid.

Demikianlah antara ringkasan sejarah Arakan yang telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Muhammad Sanusi Md Nor pada Himpunan Fastaqim dan Pelancaran Jentera PRU14 PAS Kawasan Kangar, di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), baru-baru ini.

Menurutnya lagi, berdasarkan sejarah, bumi Arakan pernah disinggahi Sahabat Rasulullah S.A.W. yang tersohor iaitu Saiyidina Saad Abi Waqas untuk berdakwah, ketika dalam perjalanannya ke China.

“Ada pihak cuba menulis sejarah Rohingya seolah-olah Myanmar tidak pernah dikenali sebagai Burma, di mana Arakan bukan nama asal Rakhine State.”

“Bagaimana etnik yang mendiami Arakan sejak seribu tahun dikatakan berasal dari sebuah negara lain yang hanya wujud pada 1971?”

“Tuduhan-tuduhan pelik kepada Muslim Rohingya yang baru muncul di media internet adalah sejenis propaganda politik,” bidasnya sambil menyifatkan Kerajaan Myanmar mahu menghalalkan kekejaman terhadap etnik itu.

Katanya, mereka telah bertahun-tahun cuba memadamkan sejarah Islam di Arakan dan kaitannya dengan Muslim Rohingya

Kini menurutnya, muncul pula usaha mewajarkan perlakuan persis haiwan malah lebih teruk, sehingga tidak dapat difikirkan oleh akal yang waras, ke atas etnik Rohingya.

Jelasnya, golongan muslimah dirogol berulang kali dan dibunuh, para pemuda dibakar hidup-hidup manakala golongan tua dan kanak-kanak pula menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Justeru, beliau menyeru agar jentera PAS turun bagi padang memahamkan rakyat supaya menjadi rakyat yang peduli politik.

“Jika kita tidak peduli politik negara kita, tidak mustahil suatu hari Malaysia juga turut akan menerima nasib yang sama seperti yang berlaku kepada Muslim Rohingya.”

“Mereka merasa selesa apabila dapat hidup dengan baik di bumi Arakan namun pada akhirnya orang bukan Islam sedikit demi sedikit mula menguasai tampuk kepimpinan.”

“Umat Islam disibukkan dengan pertelingkahan berhubung perkara-perkara seperti ibadah, ekonomi, hiburan dan sebagainya untuk melalaikan kita dari memikirkan soal politik negara.

“Setoi (Wilayah Satun), Thailand pada satu masa dahulu adalah satu negeri di bawah Negeri Perlis, Tak Bai termasuk Negeri Kelantan, Petani (Patani) pernah dikuasi Kedah tetapi akhirnya telah jatuh ke tangan Thailand akibat dari kekuasaan politik,” ujarnya lagi.

Oleh itu tegas beliau, pentingnya umat Islam khususnya orang Melayu untuk peduli hal politik supaya teraju kepimpinan negara tidak terlepas ke tangan pihak lain.