Home Rencana PAS Johor

Pemuda Ansarullah : Berlapang dada dan berjiwa besar

258
SHARE

ANSARULLAH (Penolong Agama Allah)

Oleh ABU FAQEH

MUKADIMAH

Firman Allah dalam Surah As-Soff Ayat 14:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ ۖ فَآمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ ۖ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَىٰ عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!”   (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

CIRI-CIRI ANSARULLAH (Penolong Agama Allah) :

1. Adalah seorang yang sentiasa bersedia menyahut seruan perjuangan, kerana perjuangan ini tiada penghujungnya. Walaupun semua orang ada halangan masing-masing dalam kehidupan, namun sifat Ansarullah ini mereka berusaha menyusun halangan, ujian yang datang dengan baik untuk melaksanakan perintah (seruan)

2. Sentiasa menjunjung segala peraturan dan arahan dalam jamaah yang mesti ditaati. Ahli boleh berbeza pandangan akan tetapi bilamana keputusan dibuat kita mestilah Sami’na Wa Ato’na (Dengar dan Taat).

Disebutkan sebagaimana kisah Saidina Khalid al-Walid R.A yang mempunyai kelebihan dalam peperangan. Setiap kali memimpin peperangan, dia akan menang. Tapi apabila dia menerima arahan untuk bertukar posisi, dia akur dengan arahan. Sifat pemuda Ansarullah bukan bekerja disebabkan adanya jawatan. Diposisi mana pun berada, ia tetap bekerja untuk memenangkan agama Allah SWT.

3. Sentiasa memastikan kualiti yang baik melalui pengurusan aktiviti yang disusun dalam mana-mana program sama ada dalam Tarbiyah, Dakwah, Kebajikan dan lain-lain. Mereka itu juga mesti komited dalam semua aktiviti dan program, dengan mengambil peluang daripada ruang yang diberikan. Bukan hanya memilih kepada kerja-kerja yang diminatinya sahaja.

4. Sudah pasti sifat Ansarullah itu mewarisi akhlak Baginda Nabi SAW dalam menegakkan agama Allah dengan mencontohi akhlak Baginda Nabi SAW dalam semua bidang.

5. Seorang Ansarullah perlu memiliki pegangan akidah yang mantap. Ianya adalah perkara asas yang sangat terpenting dalam agama. Dengan asas yang benar inilah kita dapat pertahankan agama. Ibrah dari kisah Bani Israel yang rosak pegangan disebabkan harta. Jangan tertipu dengan ujian harta atas kemenangan kita.

6. Perlu menjadi Rijalul Taghyir (ejen pengubah). Berusaha membuat perubahan bermula dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Mengambil Kalam Imam Syafie, “Tidak patut bagi seseorang yang terlibat dalam jalan dakwah ini, memohon cuti.” Kerana ada manusia yang melakukan kerja-kerja dakwah sebelum ini, sepanjang masa.

7. Sentiasa komited dan aktif dalam melaksanakan gerak kerja, bukan seorang yang pasif dalam pelaksanaan amal jamaei (program).

8. Tidak membazirkan masa bertelagah menyalahkan orang lain. Kerana kerja dakwah ini sangatlah banyak. Dalam mesyuarat berlaku pelbagai cadangan dan pandangan. Hendaklah taat setelah keputusan dibuat. Tiada isu merajuk dalam jamaah. Rapatkan saf eratkan ukhuwwah.

9. Sentiasa peka dengan keperluan jamaah dengan berkongsikan pandangan dalam mesyuarat. Bukan hanya berdiam diri. Sekurang-kurangnya kita memberi sokongan kepada pandangan ahli lain.

10. Berlapang dada, merendah diri, berjiwa besar :
– Bersedia untuk memberi arahan dan diberi arahan.
– Bersedia untuk memimpin dan dipimpin.
– Bersedia untuk menegur dan ditegur.
– Bersedia untuk memberi nasihat dan dinasihati.
– Bersedia untuk mentarbiyyah dan ditarbiyyah.

KESIMPULAN

Seorang Ansarullah itu ialah orang yang bekerja untuk memenangkan agama Allah SWT. Bukan bekerja kerana ada jawatan, kedudukan, pangkat atau kepentingan. Istiqamah bukan suatu yang mudah. Ianya perlu dibantu dengan:
1. Ilmu (sentiasa belajar).
2. Persahabatan (berkawan dengan sahabat istiqamah).
3. Penglibatan dalam program.
4. Perbanyakkan doa agar diberi istiqamah.

Sebagaimana kata Imam Abu Hanifah Hafizahullah (Imam Mazhab Hanafi),

“Pandanganku ini betul tapi mungkin ada salahnya, pandangan kamu itu salah tapi mungkin ada betulnya.”

Maka berlapang dadalah dan jangan sombong.

Terima kasih.

والله تعالى اعلم

Penulis merupakan Pengerusi Akademi Tarbiyah (AKTAR) Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai.

(Tulisan ini merupakan catatan penulis dalam program Usrah Gabungan bersiri Pemuda PAS Kulai secara maya bertajuk Ciri-ciri Ansarullah yang disampaikan oleh Naqib jemputan, AF Ustaz Muhammad Fawwaz Mat Jan pada 28 Oktober 2021)