Home Minda Presiden

Pemikiran Yang Masih Dijajah

751
SHARE

Minda Presiden PAS
PEMIKIRAN YANG MASIH DIJAJAH


 Mantan Perdana Menteri British, William Ewart Gladstone (1809M – 1898M) menegaskan, sambil mengangkat al-Quran dalam persidangan Parlimen ketika membahaskan penentangan umat Islam yang dipimpin oleh para ulama’ dan sultan yang berpegang teguh kepada Islam:

“As long as there is this book [the Quran], there will be no peace in the world.”

“Selagi mereka percaya kepada buku ini (sambil mengangkat al-Quran), selama itulah tidak akan wujud keamanan.”

Adapun Lord Evelyn Baring, 1st Earl of Cromer (atau dikenali dengan Lord Cromer) yang pernah bertugas di India dan Mesir pula menegaskan dalam penulisannya:

“Perlu dirancang mewujudkan kepimpinan yang diasuh mengikut Barat bagi persediaan memberi kemerdekaan secara terpaksa kepada tanah jajahan (khususnya umat Islam).”

Christian Snouck Hurgronje, orientalis Belanda yang belajar pesantren (pondok) di Indonesia juga menegaskan:

“Bahaya kepimpinan para ulama’ yang terus menyebarkan doktrin  kenegaraan (Islam).”

Demikianlah usaha-usaha penjajah bagi memadamkan wajah perjuangan Islam yang paling awal meneroka perjuangan kemerdekaan, sejak mula seawal kedatangan penjajah lagi. Secara khusus di Tanah Melayu, sejak permulaan kedatangan Portugis yang menakluk Melaka pada tahun 1511 dan diikuti pula penjajahan seluruh kepulauan Nusantara.

Almarhum Sultan Melaka tidak menyerah kalah, sehingga Baginda berhijrah ke beberapa tempat di Sumatera, bagi meneruskan perjuangan jihad menentang penjajah yang datang silih berganti.

Termasuklah perjuangan Patih Yunus yang datang dari Tanah Jawa bersama pasukannya dan Raja Haji yang syahid (merupakan bapa saudara kepada Tuanku Sultan Selangor ke-2, Sultan Ibrahim Shah).

Begitu juga seluruh para ulama’ yang mengerahkan pengikut dan murid-murid mereka supaya bangkit berjihad menentang penjajah. Hal yang demikian kerana, penjajah itu datang menakluk dengan misi merosakkan agama, memperhambakan rakyat dan merompak hasil bumi.

Perjuangan kemerdekaan juga bersusur galur dengan perjuangan yang panjang, antaranya gerakan Adipati Yunus di Melaka pada tahun 1517M dan 1521M, gerakan Sunan Fatahillah di Sunda Kelapa pada tahun 1522M, dan gerakan Sultan Agung Mataram pada tahun 1628M hingga tahun 1633M. Selain itu, gerakan Sultan Hasanuddin Makassar bermula daripada tahun 1666M hingga tahun 1669M, gerakan Sheikh Yusof al-Makassari al-Bantani di Banten bermula daripada tahun 1682M hingga tahun 1683M dan gerakan Raja Haji di Melaka pada tahun 1784M.

Mata rantai perjuangan berterusan melalui Pangeran Diponegoro atau juga dikenali dengan Bendara Raden Mas Mustahar yang dilahirkan pada tanggal 11 November 1785 dan meninggal dunia pada 8 Januari 1855. Beliau memimpin Perang Jawa menentang Belanda.

Seterusnya penentangan secara besar-besaran untuk mempertahankan Islam di tanah air, yang berlaku sepanjang abad ke-19 dan berikutnya, di seluruh Nusantara bermula dari Acheh sehingga ke Mindanao dan Sulawesi.

Sejarah perjuangan jihad bagi mempertahankan Islam diteruskan dengan menubuhkan pelbagai kumpulan Islam seperti Jam’iyatul Fathaniyah di Makkkah pada tahun 1873M sehingga cawangannya ditubuhkan di Pulau Penyengat, Riau. Kemudian diikuti dengan penubuhan Jam’iyatul Rusyidiyah pada tahun 1880M dan Jam’iyatul Khairiyah pada tahun 1884M. Penubuhan Sarekat Dagang Islam (SDI) pada 16 Oktober 1905 oleh Kiyai Haji Samanhudi (kemudiannya dikenali dengan Sarekat Islam) untuk melawan Syarikat Hindia Timur British dan Syarikat Hindia Timur Belanda.

Sebahagian fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa perjuangan menentang penjajah oleh gerakan Islam telah mendahului perjuangan Karl Marx yang dilahirkan pada tahun 1818-1883. Bahkan juga telah mendahului Revolusi Komunis yang meletus di Rusia dan China.

Sekiranya dibaca kenyataan para pemimpin dan ilmuwan penjajah sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kemudiannya dikaji pula senario perjalanannya, maka terang lagi bersuluh betapa agenda perjuangan kemerdekaan telah diselewengkan. Pada masa yang sama, ia telah dirompak semasa dalam perjalanannya.

Betapa Islam dilenyapkan melalui agenda pendidikan, pentadbiran dan media, sehingga beralih kepada perjuangan kebangsaan bangsa-bangsa seperti Bangsa Arab, Melayu, Jawa, Acheh, Bugis, Minang, Banjar dan pelbagai bangsa lain yang dipesongkan sejarahnya mengikut ala Bani Israel. Satu bangsa yang meletakkan semangat kebangsaan Yahudi mereka mengatasi ajaran Kitab Taurat, sehingga ia dipinda berdasarkan selera dan semangat Israel.

Maka tidak hairan sekiranya dikaji bahawa Karl Marx yang berasal daripada Bangsa Zionis Yahudi telah menciptakan negara haram Israel. Dialah juga yang telah mencipta teori komunis yang menolak semua agama. Kemudian lahir anak-anak daripada fahaman komunis seperti fahaman sosialis, bahkan zuriatnya itu lebih zalim daripada penjajah Eropah yang beragama Kristian.

Kesan daripada pengaruh penjajahan ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial kepada penjajahan pemikiran telah berjaya melahirkan penganut Islam yang buta politik. Sekalipun terdapat dalam kalangan mereka golongan yang terpelajar kefahaman agama, tetapi sekadar memahami beberapa ibadat fardu ‘ain dan fardu kifayah seperti sembahyang jenazah.

Mereka juga sekadar mengajar bacaan al-Quran tanpa memahami maksud petunjuknya, lalu terjebak ke dalam perjuangan bersama komunis di Tanah Melayu. Tanpa mereka menyedari wujudnya kerjasama antara aliran liberal kapitalis dengan komunis yang menentang Jerman, Jepun dan Itali dalam Perang Dunia Kedua.

Apabila semangat nasionalisme perkauman mengambil alih posisi Islam yang dilemahkan, maka golongan nasionalis hanya sekadar menanamkan perasaan kasihkan bangsa semata-mata. Adapun ideologi politiknya yang kosong diambil alih oleh apa-apa sahaja ideologi yang disuntik dengan mudah.

Perasaan tertekan berada di bawah pengaruh Barat yang menjajah, telah memudahkan dalam kalangan bangsa Melayu berpindah ke bangsa Komunis bersama Chin Peng. Perubahan yang berlaku sehingga membolehkan solat didirikan dan umrah ditunaikan sebagaimana yang diberikan kemudahan oleh Parti Komunis. Hal yang demikian kerana, strategi mereka secara khusus dilakukan terhadap bangsa Melayu seperti menggunakan peranan Rashid Maidin dan sebagainya.

Apa yang mendukacitakan lebih ramai masyarakat Melayu yang dibunuh oleh komunis dibandingkan mereka yang dibunuh oleh pihak tentera British yang dikatakan penjajah dan dilawan oleh puak komunis.

Kerjasama yang paling nyata antara puak liberal kapitalis dengan komunis diteruskan di negara Arab, apabila British menyerahkan Yaman Selatan kepada kumpulan-kumpulan Komunis Arab setelah mereka tidak mampu bertahan dengan penentangan rakyat yang sangat kuat berpegang kepada Islam. Bagi pihak British adalah lebih baik tanah jajahan diberikan kepada komunis supaya tidak jatuh ke tangan kumpulan Islam.

Kesatuan Soviet yang telah tersungkur di bumi Afghanistan, kemudiannya diambil alih oleh Amerika dan sekutunya. Pengaruh Barat telah menggantikan pengaruh komunis di Asia Tengah, apabila jelas kelihatan kebangkitan semula Islam yang tidak boleh dimatikan dengan kekejaman komunis. Benarlah firman Allah SWT:

﴿وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ١٢٠﴾

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan senang kepada kalian hingga kalian mengikuti agama mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kalian mengikuti kemahuan (kehendak hawa nafsu) mereka setelah datangnya pengetahuan kepada kalian (wahyu yang diturunkan), maka Allah tidak akan lagi menjadi pelindung dan penolong bagi kalian.” (Surah al-Baqarah: 120)

Mereka yang masih terkesan dengan penjajahan mental atau minda, menganggap peranan Parti Komunis dalam menentang Jepun dengan bantuan British adalah suatu fakta sejarah. Sebaliknya peranan Islam yang lama dalam menentang penjajah bukanlah suatu fakta sejarah, maka ia boleh dipadamkan atau dilupakan begitu sahaja.

Sudah tiba masanya pada hari ini, umat Islam mesti kembali memimpin dunia bersama Islam, setelah hancur lebur blok komunis dan kemudian murtad menjadi kapitalis.

Hari ini terserlah pula petanda yang menjadi permulaan akan berakhirnya era penguasaan liberal kapitalisme Barat. Perkara ini bertepatan dengan janji Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya mereka telah membuat makar (rancangan) yang besar (untuk menentang Islam) padahal di sisi Allah jualah (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya makar mereka itu (amat besar) sehingga dapat melenyapkan gunung-ganang. (46); Oleh itu, janganlah sekali-kali kalian menyangka Allah akan menyalahi (memungkiri) janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya). (47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 16 Rajab 1442 / 28 Februari 2021