‘Kehilangan’ untuk selama-lamanya Pemangku Pengarah JPrD Lanchang dalam Parlimen Temerloh, Nor Azizi Che Soh, 58, dalam keadaan mengejut petang semalam, tidak mematahkan semangat jentera berkenaan bagi menghadapi pilihan raya ini.
Wakil calon bagi N 31 Lanchang itu telah kembali ke rahmatullah pada mulanya pitam ketika menghadiri taklimat SPR kira-kira jam 4.20 petang.
Beliau yang juga AJK PAS Kawasan Temerloh itu, kemudiannya dibawa ke Hospital Temerloh (Hoshas) dan dimasukkan ke zon merah. Namun disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan bertugas.
Pada sebelah paginya beliau turut hadir ke Dewan Tun Razak semasa proses penamaan calon bagi Parlimen Temerloh dan Dun-Dun di bawahnya dan dikhabarkan masih sangat ceria dan bersemangat ketika itu.
Arwah yang menetap di Taman Saga Indah adalah bekas kakitangan kerajaan (Mardec) meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata.
Sementara itu calon bagi Dun Lanchang Hassan Omar berkata, pemergian sahabat karibnya yang dianggap bekerja keras untuk memenangkan Islam itu diterima dengan redha dan tidak mematahkan semangat jentera.
“Sebaliknya kami berazam untuk bekerja dengan lebih bersemangat untuk meraih kemenangan sebagaimana yang sering dipesankan oleh Allahyarham”.